Ahmad Jais 'risik’ kekuatan Thailand

Ahmad Jais ‘risik’ kekuatan Thailand

Aksi pemain kebangsaan Muhammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam menentang Singapura dalam acarta regu Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia TM ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa, semalam. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara mula mengalihkan fokus terhadap ancaman utama, Thailand menjelang saingan lebih mencabar dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2026 apabila barisan kejurulatihan giat melakukan penilaian terperinci terhadap corak permainan lawan tradisi itu.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui Thailand kekal sebagai antara pencabar paling berbahaya selepas tampil dengan kombinasi seimbang pemain muda dan berpengalaman yang dilihat mampu memberi kelebihan besar kepada pasukan tersebut.

Menurutnya, kerja pemantauan sudah digerakkan sejak awal kejohanan lagi bagi memastikan skuad negara memiliki gambaran lebih jelas tentang kekuatan setiap lawan, terutama Thailand.

“Sejak hari pertama kejohanan, kita sudah mula melihat dan menilai kekuatan Thailand serta pasukan lain. Kita lakukan sedikit kajian untuk membantu persiapan pasukan.

“Kita nampak kebanyakan pasukan lebih konsisten dan banyak menunjukkan peningkatan. Mungkin mereka bermain tanpa tekanan kerana turun sebagai pasukan underdog,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Jais mengakui status Malaysia selaku tuan rumah turut membawa cabaran tersendiri apabila pemain perlu mengendalikan tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Katanya, aspek mental kini menjadi antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian supaya pemain tidak terlalu dibebani tekanan sehingga menjejaskan persembahan di gelanggang.

“Bermain di tempat sendiri memang ada tekanannya. Kita perlu bantu pemain cepat menyesuaikan diri supaya mereka tidak rasa kekok dan dapat menampilkan aksi sebenar,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai Thailand, Ahmad Jais percaya pendekatan pasukan itu yang menggabungkan tenaga muda dan senior bukan dilakukan secara kebetulan, sebaliknya sebahagian daripada pelan jangka panjang mereka.

Beliau berkata, negara jiran itu dilihat sedang menilai kombinasi terbaik menjelang cabaran lebih besar pada Sukan Asia.

“Mereka ada campuran pemain muda dan senior. Mungkin ini sebahagian proses untuk mereka mencari skuad terbaik bagi menghadapi Sukan Asia nanti,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia juga sedang melalui proses sama apabila prestasi pemain terus dipantau sebelum senarai akhir 12 pemain ke Sukan Asia diputuskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN