KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan impian melihat sepak takraw dipertandingkan di Sukan Olimpik bukan lagi sesuatu yang mustahil sekiranya usaha agresif semua pihak terus digerakkan.
Norza berkata, beliau bersama Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan komited memastikan sukan tradisi Asia tersebut mendapat pengiktirafan lebih besar di peringkat dunia.
Menurutnya, perjuangan membawa sepak takraw ke Olimpik perlu diteruskan demi membuka peluang kepada generasi muda Malaysia dan antarabangsa bersaing di pentas paling berprestij dunia itu pada masa kelak.
“Saya dengan Datuk Sumali dan rakan-rakan di MOM akan terus berusaha sedaya upaya untuk menentukan pada satu hari nanti anak-anak muda kita dari Malaysia dan negara lain akan berjuang bermain sepak takraw di Olimpik, Insya-Allah,” katanya ketika merasmikan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Turut hadir Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Abdul Halim Kader yang sebelum ini mencadangkan agar sepak takraw disenaraikan sebagai acara rasmi Olimpik.
Dalam masa sama, Norza turut memuji kepimpinan Sumali yang disifatkannya sebagai individu penting dalam mengubah landskap sepak takraw negara sejak mengambil alih PSM pada 2022.
Beliau menyifatkan transformasi dibawa Sumali berjaya mengangkat semula imej sepak takraw negara termasuk membawa kejohanan bertaraf dunia kembali dianjurkan di Malaysia selain memperkukuhkan pentadbiran sukan itu secara lebih profesional.
Mengulas prestasi skuad negara, Norza percaya kejayaan meraih dua emas pada Piala Dunia 2024 serta menewaskan Thailand dalam acara berpasukan di Sukan SEA 2025 membuktikan Malaysia kini kembali berada di landasan terbaik menjelang Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa bermula esok hingga 23 Mei ini. – UTUSAN










