PETALING JAYA: Kapten skuad sepak takraw negara, Farhan Adam mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu memikirkan pertembungan dengan Thailand sehingga memandang mudah cabaran lawan lain pada aksi Piala Dunia Sepaktakraw 2026 Sabtu ini.
Menurutnya, fokus utama pasukan ketika ini memastikan Malaysia melepasi setiap halangan bermula dari peringkat kumpulan sebelum bercakap soal aksi final menentang musuh tradisi itu.
“Kita tak boleh terlalu fikir Thailand sahaja. Sebelum nak jumpa mereka di final, kita kena lepasi peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir terlebih dahulu.
“Setiap kali turun bermain, semua pemain perlu beri 100 peratus dan tak boleh simpan tenaga atau taktikal.
“Bila kita tunjuk permainan terbaik dari awal, lawan sendiri akan nampak Malaysia benar-benar serius untuk pertahankan kejuaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Farhan yang mesra disapa Emon turut mengambil iktibar daripada edisi lalu serta menegaskan, pemain perlu mengurangkan kesilapan mudah terutama ketika sedang mendahului perlawanan.
Skuad regu negara bakal membuka tirai perlawanan Kumpulan A menentang Singapura sebelum bertemu Jepun pada Isnin ini. – UTUSAN










