Farhan gesa regu ‘meledak’ baham Singapura 

Farhan gesa regu ‘meledak’ baham Singapura  

Aksi regu kebangsaan yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd. Nordin, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Farhan Adam menentang Jepun pada Kejohanan Piala Dunia 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, kelmarin. - UTUSAN/AMIR KHALID 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemenangan meyakinkan Malaysia ke atas Jepun pada aski pertama Kumpulan A acara regu belum cukup membuatkan kem negara berpuas hati apabila masih belum berada dalam tahap permainan terbaik. 

Kapten skuad regu kebangsaan, Farhan Adam menggesa rakan sepasukannya agar tampil memberikan aksi sebenar menjelang aksi terakhir menentang Singapura pada hari ini.

Meskipun membuka kempen Kumpulan A dengan langkah kanan selepas menewaskan Jepun 2-0 di Stadium Titiwangsa, semalam, Farhan menganggap aksi itu lebih kepada medan mencari semula keserasian dan rentak sebenar perlawanan kompetitif.

Menurut apit kiri negara itu, aksi berdepan Jepun menjadi ujian pertama skuad negara di pentas antarabangsa tahun ini, sekali gus menuntut pemain menyesuaikan diri semula dengan tekanan serta intensiti sebenar dalam gelanggang.

“Ini perlawanan antarabangsa pertama kami tahun ini. Ketika bersama skuad kebangsaan, agak sukar untuk menilai tahap sebenar permainan kerana suasananya berbeza.

“Jadi sekarang kami masih dalam proses mencari rentak dan keserasian dalam perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun, Farhan optimis prestasi skuad negara akan meningkat menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Singapura, hari ini.

Katanya, masih banyak aspek permainan perlu dipertingkatkan bagi memastikan Malaysia tampil lebih mantap untuk cabaran lebih besar selepas ini.

“Insya-Allah permainan akan lebih baik selepas ini. Fokus kami sekarang hanya pada Singapura dan kami perlu tingkatkan permainan dari semua aspek,” ujarnya.

Terdahulu, Syahir Rosdi dikeluarkan pada penghujung set pertama sebelum sekali lagi diganti pada pertengahan set kedua bagi memberi ruang kepada Haziq Hairul Nizam beraksi.

Kemenangan ke atas Jepun hampir pasti membuka laluan Malaysia ke suku akhir, manakala pertemuan menentang Singapura dijangka menjadi penentu status juara atau naib juara Kumpulan A. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN