PETALING JAYA: Pemain sepak takraw Thailand, Pornthep Tinbangbon memasang impian besar untuk bertemu Malaysia di pentas final acara berpasukan kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mengakui mahu menebus kekecewaan lalu selain membawa pulang gelaran juara ke negaranya.
Selepas membantu Thailand menjuarai acara Regu, Pornthep tanpa berselindung mengakui skuad negara menjadi lawan yang paling diingininya dalam aksi penentuan.
“Mesti bertemu Malaysia. Saya mahu menentang Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Stadium Titiwangsa semalam.
Kenyataan itu dilihat cukup signifikan selepas Thailand sebelum ini dikecewakan Malaysia pada temasya Sukan SEA lalu di laman sendiri, sekali gus menambah elemen persaingan tradisi dua kuasa besar sepak takraw Asia itu.
Pornthep berkata, sasaran utamanya kini adalah memastikan Thailand terus mengekalkan momentum untuk membawa pulang pingat emas dalam acara berpasukan.
“Sasaran saya untuk pertandingan kali ini, saya berharap dapat membawa pulang kejuaraan ke Thailand,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui Malaysia kini tampil sebagai pasukan yang lebih stabil dan sukar dijangka, namun percaya format baharu 15 mata menjadikan persaingan lebih terbuka.
“Saya rasa mereka mempunyai standard yang baik. Dengan peraturan 15 mata sekarang, ia 50-50. Sesiapa yang tidak melakukan kesilapan akan menang,” ujarnya.
Mengulas prestasinya sendiri sepanjang kejohanan, Pornthep nyata berpuas hati apabila berjaya menterjemahkan corak permainan yang diterapkan semasa latihan ke gelanggang sebenar.
Katanya, cabaran terbesar seseorang atlet adalah mengekalkan prestasi latihan ketika berada dalam tekanan pertandingan, namun beliau gembira kerana berjaya melaksanakannya dengan baik.
Kejayaan memenangi acara regu turut memberi makna besar buat Pornthep kerana ia merupakan gelaran pertamanya dalam acara tersebut selepas Thailand gagal meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan utama sebelum ini. – UTUSAN.










