Peruntukan khas RM31 juta tingkat pembangunan di Pulau Banggi - PM

Peruntukan khas RM31 juta tingkat pembangunan di Pulau Banggi – PM

ANWAR Ibrahim ketika Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Dewan Terbuka Pekan Baru Pulau Banggi, Sabah. - FACEBOOK PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan khas bernilai lebih RM31 juta bagi tujuan meningkatkan lagi pembangunan di Pulau Banggi, di sini.

Katanya, peruntukan yang diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu merupakan inisiatif pihaknya agar Pulau Banggi tidak ketinggalan daripada arus pembangunan semasa.

Beliau berkata peruntukan terbabit meliputi kos menaik taraf pelbagai kemudahan termasuk jalan raya, jambatan, jeti dan sebagainya termasuk menambah baik fasiliti keselamatan, pendidikan serta kesihatan di pulau terbabit.

Menurutnya, antara fasiliti terlibat ialah Balai Polis Pulau Banggi, Klinik Kesihatan Karakit, naik taraf asrama sekolah di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan selain Jeti Awam Karakit.

“Saya datang ini, saya luluskan peruntukan RM31 juta untuk Pulau Banggi.

“Ini termasuk beberapa projek yang sedang dilaksanakan seperti naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung termasuk Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran serta Bayangan Laut.

“Saya mahu Pulau Banggi ini menjadi contoh bahawa rakyat yang sedikit miskin atau tinggal di kawasan terpencil tidak terbiar.

“Kerajaan Madani merasakan tanggungjawab untuk mengangkat martabat dan keupayaan setiap rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi bertemppat di Dewan Terbuka Pekan Baru Pulau Banggi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata, projek menaik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat sedang giat dilaksanakan dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kos hampir RM44 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sumbangan tambahan kerajaan sebanyak RM1.25 juta yang akan diselaraskan agensi di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Anwar turut menambah, pihaknya juga telah meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN