SANTA CRUZ: Penduduk dan pekerja pelabuhan di Tenerife mengadakan protes terhadap ketibaan kapal persiaran MV Hondius yang dijadualkan berlabuh di pulau Sepanyol itu selepas dilaporkan mengalami wabak hantavirus.
Kerajaan Sepanyol sebelum ini bersetuju dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membenarkan penumpang kapal itu turun di Tenerife pada hujung minggu ini.
Kapal berkenaan dalam pelayaran dari Cape Verde, di mana tiga penumpang dipindahkan akibat jangkitan wabak tersebut.
Kelmarin, kumpulan pekerja pelabuhan berhimpun di luar bangunan parlimen Kepulauan Canary di Santa Cruz sambil membunyikan wisel, vuvuzela dan mengangkat sepanduk bantahan bagi menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kesihatan.
“Kami tidak gembira dengan idea dibenarkan bekerja di pelabuhan tanpa langkah keselamatan atau maklumat khas apabila bot yang dijangkiti sedang menghampiri,” kata wakil kesatuan pekerja pelabuhan tempatan, Joana Batista.
Beberapa rakan sekerjanya turut mengugut untuk menyekat ketibaan kapal persiaran tersebut sekirangnya tuntutan mereka tidak dipenuhi.
“Jika kapal mahu berhenti di sini, ia boleh berbuat demikian tetapi dengan langkah yang diperlukan. Penduduk tempatan perlu dimaklumkan bagaimana perkara ini memberi kesan kepada mereka, dan proses penumpang dipindahkan. Paling utama, kami perlukan jaminan,” katanya.
Kerajaan pusat yang dipimpin Sosialis menangkis tuduhan bersikap tidak telus dalam memberikan butiran mengenai ketibaan kapal itu hujung minggu ini.
Kapal tersebut tidak akan berlabuh terus di Tenerife, sebaliknya akan berhenti di tengah laut dan penumpang akan dipindahkan menggunakan bot ke pelabuhan industri besar di Granadilla di tenggara pulau itu, jauh dari kawasan kediaman.
Tidak lama selepas ketibaan, mereka akan dihantar pulang manakala 14 rakyat Sepanyol di atas kapal itu akan dibawa ke Madrid untuk dikuarantin.
Pihak berkuasa menegaskan tiada sebarang kontak berlaku antara penumpang dan penduduk tempatan yang akan dilindungi secara menyeluruh, menurut Ketua Agensi Perlindungan Awam Sepanyol, Virginia Barcones.- BBC










