Alahai, Cik Bunga pun perasan satu perkara yang sedang menjadi bualan dalam kalangan peminat industri hiburan tanah air.
Kalau dahulu, setiap kali pelakon Amir Ahnaf dan aktres jelita, Siti Khadijah Halim, muncul bersama, bukan main ramai yang seronok mengusik.
Ada sahaja yang mahu ‘kenen-kenen’kan mereka berdua. Malah, tidak kurang juga peminat yang berharap hubungan akrab itu berakhir ke jenjang pelamin.
Mana tidaknya, apabila melihat kedua-duanya bersama, memang ada yang merasakan mereka nampak serasi. Chemistry itu, kata orang, macam ada sesuatu yang membuatkan peminat tersenyum sendiri.
Namun, kebelakangan ini timbul pula cakap-cakap kononnya hubungan persahabatan mereka sudah tidak seperti dahulu. Malah, ada yang mendakwa kedua-duanya tidak lagi berkawan rapat. Betulkah begitu?
Cik Bunga tidaklah tahu cerita sebenar di sebalik perubahan yang diperkatakan itu. Maklumlah, kita ini orang luar. Apa yang berlaku di sebalik tabir, hanya mereka berdua yang lebih mengetahui.
Cuma, tidak dapat dinafikan, kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Amir sebelum ini mungkin membuatkan timbul pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Apakah perkara itu turut memberi kesan kepada hubungan persahabatannya dengan Siti Khadijah?
Mungkinkah juga Siti Khadijah memilih untuk menjaga jarak dan tidak mahu namanya terus dikaitkan dengan sebarang kontroversi? Atau sebenarnya masing-masing sedang sibuk dengan urusan serta komitmen sendiri?
Apa-apa pun, itu semua sekadar persoalan dan kemungkinan. Jangan pula ada yang terlalu cepat membuat kesimpulan atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.
Cik Bunga cuma ingin mengingatkan, dalam dunia seni ini, menjaga diri, menjaga batas dan memilih lingkungan pergaulan memang tidak salah. Setiap orang berhak menentukan siapa yang mahu didekatkan dalam kehidupan masing-masing.
Tetapi satu perkara yang perlu diingat, industri seni kita ini bukannya besar mana. Hari ini mungkin membawa haluan berbeza, esok lusa belum tentu tidak akan bertemu lagi di set penggambaran, acara hiburan mahupun majlis rakan seperjuangan.
Jadi, kalau ada salah faham, mudah-mudahan dapat diselesaikan dengan baik. Kalau sudah tidak serapat dahulu pun, biarlah hubungan sesama rakan industri kekal dengan rasa hormat.
Kita sebagai peminat pula, usahlah terlalu mendesak atau mencipta cerita yang belum tentu benar.
Dulu ramai berharap mereka menjadi pasangan kekasih, sekarang kalau sekadar menjadi kenalan pun, rasanya tidak mengapa.
Apa yang penting, masing-masing terus melangkah dan menjaga nama baik sendiri. Betul tak?











