Pemain tempatan masih cemerlang

Pemain tempatan masih cemerlang

PEMAIN Kuching City, Ramadhan Saifullah antara pemain tempatan yang menyerlah di Liga Super musim ini.-IHSAN KUCHING CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak pernah menyisihkan anak tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) biarpun membenarkan pendaftaran 15 pemain import musim ini.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad berkata, pendaftaran 15 pemain import perlu dilihat dalam sudut positif iaitu meningkatkan prestasi pemain tempatan yang bersaing dengan pemain import.

Ketika ini katanya, kredibiliti pemain tempatan masih cemerlang meskipun persaingan sengit dengan import dan situasi berkenaan terbukti melibatkan pemain-pemain di beberapa kelab Liga Super.

“Nak dikatakan pemain tempatan dipinggirkan kerana ada ramai pemain import adalah tidak tepat kerana ramai juga pemain tempatan yang menyerlah musim ini seperti Ramadhan Saifullah dan Rodney Celvin yang cemerlang bersama Kuching City.

“Ada juga pemain-pemain muda yang cemerlang seperti Ubaidullah Shamsul Fazili dari Terengganu FC serta tonggak Selangor FC, Ahmad Zikri dan Nooa Laine yang bersaing secara sihat dalam kelab masing-masing.

“Penyerang senior tempatan seperti Safawi Rasid juga mempamerkan peningkatan prestasi bersama KL City dengan 13 gol setakat ini. Apa yang penting di sini adalah keinginan pemain tempatan untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan masing-masing,” katanya.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Zakarian Rahim, setiap pasukan harus mempunyai gambaran kemampuan pasukan, sama ada mahu mendapatkan lebih ramai import atau pun sebaliknya.

“Tidak ada kelab yang nak tutup, semua nak terus bersaing tetapi sejarah terbukti setiap tahun, menjelang musim baharu akan ada dua ‘lagu’ dimainkan, satunya ‘lagu’ kelab tutup dan satu lagi tuntutan gaji oleh pemain.

“Jadi MFL kena pastikan boleh ubah ‘lagu’ menjelang bermulanya musim baharu. MFL boleh tetapkan berapa kuota import yang dimahukan tetapi pandai-pandailah kelab untuk berbelanja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN