KUALA LUMPUR: Status beregu No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah masih lagi menjadi tanda tanya sama ada menyertai Terbuka Singapura, minggu depan, dengan status kecergasan Pearly masih belum lagi mencapai 100 peratus.
Ketua jurulatih beregu wanita Malaysia, Rosman Razak berkata, buat masa ini, penyertaan Pearly-Thinaah pada Terbuka Singapura telahpun didaftarkan, cuma sama ada mereka akan beraksi pada kejohanan itu masih belum dapat disahkan.
“Setakat sekarang mereka masih didaftarkan untuk Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia. Setiap hari ada penambahbaikkan. Saya tak boleh cakap pasti dia main di Singapura atau tidak,
keputusannya mungkin pada hari terakhir (sebelum kejohanan).
“Keputusan dibuat hari demi hari. Kalau dia okey, kita akan hantar sebab motivasi dia memang
tinggi nak main kejohanan,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui di Unifi Arena, dekat sini, semalam.
Mengulas mengenai status pemulihan Pearly, beliau berkata, dari segi tahap kecergasan, pemain itu sudah 90 peratus pulih, tetapi, bukan sekadar kecederaan yang menjadi fokus, malah, keadaan psikologi dan keyakinan turut diambil kira.
Jelasnya, apabila penyertaan sesebuah kejohanan diperkatakan, soal intensiti dan keinginan tinggi turut menjadi penilaian dan sebagai jurulatih menjadi tanggungjawab beliau untuk mengatur perancangan tersebut.
“Proses pemulihan Pearly sangat positif. Dalam dua minggu terakhir dia dah masuk ke gelanggang.
“Tapi ada sedikit perkara yang saya rasa sebagai jurulatih, saya perlu tahan dulu. Ia bukan perkara besar, cuma untuk melindungi pemain. Dia tak boleh masuk kejohanan dengan intensiti yang terlalu tinggi secara mengejut.
“Trauma pemain pun dah semakin baik sebab selepas kecederaan, benda paling susah ialah trauma itu kerana intensiti badminton sangat tinggi. Jadi, nak hilangkan trauma itu ambil masa,” ujarnya.
Rosman berkata, sebagai pemain, Pearly mungkin akan lupa tentang kecederaannya sewaktu bermain dalam sesebuah kejohanan kerana keinginan hendak menang.
“Bagi pihak kami, kami cuba elakkan risiko semaksimum mungkin. Kalau rasa perlu lindungi, kita lindung. Tapi buat masa ini mereka sedia untuk bermain,” katanya yang akan membuat keputusan muktamad mungkin pada Sabtu atau Ahad ini. – UTUSAN










