KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita remaja negara, Noraqilah Maisarah Ramdan mengakui jurang antara dirinya bersama pasangan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah masih jauh terutama dari segi pengalaman dan kematangan permainan.
Noraqilah yang beraksi bersama rakan sepasukan lebih muda Low Zi Yu, 16, bagaimanapun tidak tertekan dengan perbandingan yang mula diperkatakan selepas aksi memberangsangkan mereka di Piala Uber 2026 minggu lalu di Forum Horsens, Denmark.
“Kami masih jauh lagi kalau nak ikut tahap Pearly-Thinaah. Dari segi pengalaman dan corak permainan, memang mereka lebih matang.
“Saya dan Zi Yu baru sahaja hendak naik, jadi bagi saya memang tak boleh nak bandingkan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.
Mengulas lanjut, pemain kelahiran Melaka itu menjelaskan fokus utama ketika ini adalah meningkatkan prestasi secara berperingkat tanpa terlalu memikirkan tekanan untuk menyaingi pasangan utama negara.
“Kita hanya keluarkan apa yang kita mampu saja dalam gelanggang. Tak ada fikir nak lawan mereka ke apa, cuma buat yang terbaik.
Dalam masa yang sama, Noraqilah turut mengakui masih belum dapat meletakkan sasaran jelas tempoh untuk mencapai tahap sama seperti Pearly-Thinaah, namun tetap optimis mampu merapatkan jurang itu.
“Tak tahu berapa lama, tapi kalau boleh memang nak cepatlah. Cuma kita tak boleh terlalu kejar sangat.
“Kita ikut saja program latihan yang jurulatih bagi. Harap boleh capai tahap itu secepat mungkin,” katanya
Untuk rekod, naib juara dunia remaja itu mendapat perhatian peminat badminton selepas menumbangkan gandingan No.7 dunia dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Sementara itu, Noraqilah meletakkan sasaran realistik bersama pasangannya apabila memburu kedudukan dalam kelompok 100 terbaik dunia sebagai langkah awal membina nama di pentas antarabangsa.
“Kami memang ada sasaran nak cuba masuk kelompok 100 tahun ini. Jadi fokus ke arah itu dulu,” katanya.-UTUSAN










