PETALING JAYA: Jabatan dan syarikat milik kerajaan (GLC) perlu mengambil iktibar kes banjir besar di Lembah Bertam, Cameron Highlands pada 2013 akibat pelepasan air daripada Empangan Sultan Abu Bakar.
Kejadian banjir besar itu menenggelamkan kawasan hilir Lembah Bertam. Ia meragut nyawa penduduk, selain menyebabkan mangsa kerugian besar dari segi kewangan dan kehidupan.
Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memerintahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pengendali empangan, membayar ganti rugi berjumlah RM4.7 juta kepada 100 orang penduduk yang terjejas akibat banjir berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, jabatan kerajaan dan GLC perlu meneliti secara serius dan mengambil langkah proaktif, termasuk penggubalan undang-undang, bagi memperkukuh mekanisme pengawasan dan akauntabiliti terhadap pengurusan empangan serta infrastruktur awam lain.
Beliau berkata, kes banjir di Lembah Bertam dilihat sebagai satu kes mercu tanda yang mempunyai implikasi yang signifikan.
“Pengurusan empangan bukan sekadar isu pentadbiran atau teknikal, sebaliknya merupakan tanggungjawab awam yang besar kerana ia melibatkan keselamatan nyawa rakyat.
“Sebarang kecuaian dalam pengendalian infrastruktur awam berisiko menyebabkan kehilangan harta dan nyawa. Kes ini menjadi peringatan jelas bahawa sistem tidak boleh hanya diteliti selepas tragedi berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berharap proses pembayaran pampasan oleh TNB dapat diselesaikan segera.
Chi Yang berkata, langkah itu penting bagi menghentikan tekanan fizikal dan emosi yang dialami semua mangsa selepas hampir 11 tahun melalui proses perundangan.
Katanya, mangsa juga wajar segera menerima pampasan tersebut supaya dapat meneruskan kehidupan tanpa terus terbeban dengan penantian yang berpanjangan.
“Pampasan ini sudah tentu dapat membantu mangsa membina semula kehidupan dan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung selama ini. Namun yang lebih penting, ia membawa mesej yang jelas bahawa keadilan telah ditegakkan dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan.
“Saya juga berharap, selepas jumlah pampasan ini diputuskan secara rasmi, TNB dapat mempercepatkan proses pentadbiran dan pelaksanaan seterusnya, agar mangsa tidak lagi melalui penantian dan penderitaan yang berulang.
“Mangsa telah menanggung penderitaan selama tiga belas tahun dan sebarang kelewatan yang tidak perlu hanya akan mencemarkan makna keadilan yang akhirnya ditegakkan,” katanya.
Tambahnya, walaupun TNB masih mempunyai ruang untuk merayu terhadap jumlah pampasan tersebut, beliau berharap syarikat utiliti itu menunjukkan sikap lebih berperikemanusiaan dengan memahami penderitaan mangsa.
Katanya, kes itu juga dilihat menjadi mercu tanda yang menekankan kepentingan akauntabiliti dalam pengurusan empangan dan infrastruktur awam.
“Memandangkan mahkamah telah lama memutuskan kemenangan berpihak kepada mangsa dan kini jumlah pampasan juga telah ditentukan, saya menggesa TNB agar menunjukkan keikhlasan dan keprihatinan dengan menghormati mangsa serta keputusan mahkamah demi menoktahkan kes ini dengan sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN










