PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) jalin kerjasama strategik dengan CBI untuk mengintegrasikan sumber Risikan Pasaran Eropah (Market Intelligence) CBI ke dalam Platform Madani Digital Trade (MDTP) di bawah program kerjasama digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade,Abu Bakar Yusof berkata, usaha ini bertujuan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeksport Malaysia dengan akses kepada maklumat pasaran yang kritikal bagi menyokong pengembangan ke pasaran Eropah.
“Akses kepada risikan pasaran Eropah yang berkualiti dan boleh dipercayai ini akan memperkukuh keupayaan PKS Malaysia untuk mengeksport produk bernilai tambah dan khusus (niche) ke Eropah,” katanya dalam kenyataan.
CBI adalah sebuah pusat bagi promosi pengeluaran mampan dan perdagangan antara pasaran pesat membangun dan Belanda serta Eropah dan sebahagian daripada Agensi Perusahaan Belanda dan ditugaskan oleh Kementerian Luar Negeri Belanda.
Ia menyokong PKS dengan memberikan latihan, maklumat pasaran dan khidmat nasihat untuk meningkatkan kualiti produk serta memenuhi piawaian Eropah.
Selain itu, matlamatnya untuk menggalakkan perdagangan mampan yang memberi manfaat kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana serta pasaran Eropah.
Wakil dari CBI, Edouard van der Haas berkata, bekerjasama dengan Matrade adalah selaras dengan misi CBI untuk bekerjasama dengan PKS dan ekosistem mereka dalam memperkukuhkan aspek kemampanan sosial dan alam sekitar.
“Kerjasama ini juga bertujuan menggalakkan perdagangan mampan, menjana peluang pekerjaan berkualiti serta memperkasa golongan wanita dan belia.
“Inisiatif ini menyediakan akses kepada pelbagai sumber komprehensif termasuk kira-kira 250 kajian pasaran, 30 berita terkini dan 25 webinar yang dihasilkan setiap tahun oleh CBI.
Bahan-bahan ini memfokuskan kepada sektor utama seperti pertanian, produk pengguna dan perkhidmatan,” katanya.
Bagi menangani jurang maklumat pasaran, perkhidmatan Risikan Pasaran CBI menawarkan data dan analisis komprehensif yang menyeluruh serta terkini berkaitan trend, keperluan dan peluang pasaran di Eropah.
Melalui kerjasama ini, MDTP akan berfungsi sebagai hab sokongan perniagaan utama dalam menyampaikan maklumat ini secara langsung kepada perniagaan Malaysia.
Kerjasama ini memanfaatkan teknologi iframe Maklumat Pasaran CBI, yang membolehkan versi ringkas platform CBI diintegrasikan terus ke dalam MDTP.
Integrasi ini membolehkan pengguna mengakses penyelidikan pasaran yang meluas dengan mudah tanpa perlu meninggalkan platform. – UTUSAN










