Nilai kerja sektor pembinaan capai RM46.5 bilion suku pertama - Utusan Malaysia

Nilai kerja sektor pembinaan capai RM46.5 bilion suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai kerja dalam sektor pembinaan mencatatkan peningkatan pertumbuhan 8.5 peratus kepada RM46.5 bilion pada suku pertama 2026.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman.

Menurutnya, masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 24.6 peratus dan 12.7 peratus.

“Subsektor bangunan kediaman turut merekodkan peningkatan sebanyak 6.1 peratus, manakala subsektor Kejuruteraan awam kekal positif dengan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, daripada nilai kerja pembinaan sebanyak RM46.5 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2026, sejumlah RM15.9 bilion atau 34.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam.

“Ia didorong terutamanya oleh aktiviti pembinaan projek utiliti (RM8.3 bilion) serta jalan raya dan landasan kereta api (RM6.1 bilion).

“Sementara itu, nilai kerja bagi subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM13.9 bilion (29.9 peratus) dan RM10.5 bilion (22.5 peratus).

“Subsektor aktiviti pertukangan khas pula menyumbang sebanyak RM6.2 bilion (13.3 peratus) yang sebahagian besarnya disokong oleh aktiviti penyediaan tapak (RM1.4 bilion).

“Selain itu, aktiviti pemasangan paip, pemanasan dan penghawa dingin serta pemasangan elektrik masing-masing merekodkan RM1.2 bilion,” ujarnya.

Mengulas pretasi sektor pembinaan mengikut pemilik projek, beliau berkata, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku ini dengan peningkatan sebanyak 13.2 peratus berbanding 8.6 peratus pada suku keempat 2025.

“Ia didorong oleh subsektor Aktiviti pertukangan khas (28.8 peratus) dan Bangunan bukan kediaman (13.1 peratus).

“Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM30.5 bilion atau 65.6 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kerja pembinaan.

“Sebaliknya, sektor awam menyumbang sebanyak RM16.0 bilion atau 34.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kerja pembinaan yang dilaksanakan dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus.

“Pertumbuhan ini didorong oleh subsektor Aktiviti pertukangan khas (15.0 peratus) dan Bangunan bukan kediaman (11.0 peratus), masing-masing berjumlah RM1.7 bilion dan RM2.5 bilion,” ujarnya.

Dalam pada itu, sektor pembinaan mengikut negeri menunjukkan lebih daripada 50 peratus daripada nilai kerja pada suku pertama 2026 tertumpu di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

“Nilai kerja di Selangor berjumlah RM10.9 bilion atau 23.4 peratus dengan subsektor bangunan bukan kediaman (RM4.1 bilion) dan Kejuruteraan awam (RM2.6 bilion) menyumbang paling besar.

“Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan RM9.5 bilion atau 20.4 peratus, yang sebahagian besarnya disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.6 bilion). Nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan pula berjumlah RM4.8 bilion (10.3 peratus), jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN