LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap pemain pertahanan, Jurrien Timber sempat pulih menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada hujung bulan ini.
The Gunners akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG) di Puskas Arena, Budapest, Hungary pada Sabtu pada 30 Mei ini dan semestinya kemenangan menjadi idaman anak buah Arteta.
Pengurus kelahiran Sepanyol itu amat berharap Timber dapat pulih secepat mungkin selepas Ben White disahkan mengalami kecederaan dan perlu berehat sehingga penamat musim.
White, 28, dikeluarkan pada babak pertama ketika Arsenal menewaskan West Ham United di Stadium London Ahad lalu selepas bertembung dengan pemain lawan, Crysencio Summerville.
Arteta dilihat cukup bimbang ketika sidang media selepas perlawanan sebelum kelab mengesahkan White mengalami kecederaan ligamen medial (MCL) pada lutut kanan.
“Susulan perlawanan Ahad lalu menentang West Ham United, pemeriksaan lanjut serta penilaian pakar mengesahkan Ben White mengalami kecederaan serius ligamen medial lutut yang menyebabkan dia terlepas baki musim ini.
“Pasukan perubatan kini sedang menguruskan proses pemulihan dan rehabilitasi Ben dengan fokus utama memastikan dia bersedia menjelang persiapan pramusim nanti,” kata Arteta.
Kecederaan White menyaksikan Arsenal kini bergantung harap kepada Timber agar dapat kembali cergas sebelum aksi final UCL. – AGENSI/UTUSAN










