KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang menjadi dalang utama dalam skandal berbilion dolar melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak wajar diberi pengampunan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, susulan laporan Wall Street Journal (WSJ), kelmarin yang mendakwa Jho Low sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Pasukan petugas 1MDB yang diterajui Johari ditubuhkan bagi mendapatkan semula dana dan aset berkaitan 1MDB di seluruh dunia.
Katanya, permohonan pengampunan Jho Low itu wajar ditolak, sebaliknya AS perlu membantu Malaysia mengesan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Setakat saya, saya menentang pengampunan itu,” katanya dalam mesej teks kepada Reuters ketika diminta mengulas laporan WSJ berkenaan.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, beliau tidak mengetahui sebarang rundingan antara Jho Low dan kerajaan Malaysia berhubung pemulangan aset.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu permohonan pengampunan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Menteri, minggu hadapan.
“Isu ini dibangkitkan tadi sewaktu (mesyuarat) Jemaah Menteri sedang berjalan tetapi ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini (semalam).
“Sudah pasti akan dibawa ke perhatian Kabinet Menteri pada minggu hadapan,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Kementerian Komunikasi semalam.
Mengenai sama ada kerajaan Malaysia menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak berkuasa AS berhubung dakwaan permohonan pengampunan itu, beliau berkata, perkara berkenaan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Menteri hari ini (semalam).
“Saya mohon rakan-rakan media merujuk perkara ini kepada Menteri Dalam Negeri atau Menteri Luar,” katanya.
Jho Low berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di AS dan Malaysia, berkaitan peranannya yang didakwa dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB.
Menurut laporan WSJ, beliau mengemukakan permohonan pengampunan yang, jika diluluskan, akan menggugurkan pertuduhan jenayah di AS.
Laporan turut mendedahkan laman web Jabatan Keadilan (DOJ) AS menyenaraikan satu permintaan yang masih dalam proses di bawah nama Taek Jho Low.
Laporan berkenaan menyebut, butiran permohonan itu dikategorikan sebagai ‘Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman’ (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan tahun ini.
Laporan itu memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Jho Low, yang telah didakwa di Amerika, menafikan sebarang salah laku namun masih gagal dikesan.
Dana itu dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009, tidak lama selepas beliau memegang jawatan perdana menteri.
Lebih AS$4.5 bilion didakwa telah diseleweng daripada 1MDB antara 2009 hingga 2015 oleh pegawai dana dan sekutu mereka, termasuk Jho Low.
Najib, yang telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan dalam beberapa kes, dipenjarakan serta didenda AS$2.8 bilion kerana peranannya dalam penyelewengan tersebut.
Peguam pembelaan Najib menyalahkan Low dan melabelkannya sebagai dalang utama skandal kewangan berkenaan.
Malaysia sebelum ini gagal mendapatkan Jho Low melalui proses ekstradisi, manakala media turut membuat spekulasi bahawa beliau bersembunyi di China.
Skandal itu menggoncang politik Malaysia dan menyumbang kepada kejatuhan gabungan pemerintah pada 2018, selain membawa kepada sabitan dua bekas pegawai bank Goldman Sachs. –
– UTUSAN










