MyBHA Pahang gesa pembangunan pelancongan lebih kukuh, penguatkuasaan adil dan pengurusan destinasi diperkasi

MyBHA Pahang gesa pembangunan pelancongan lebih kukuh, penguatkuasaan adil dan pengurusan destinasi diperkasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Pahang menggesa pembangunan sektor pelancongan di negeri Pahang diperkukuh melalui kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri bagi memastikan pertumbuhan yang lebih mampan, adil dan berdaya saing.

Pengerusi MyBHA Pahang, Datuk Seri K. Vijayendren berkata, pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada promosi dan infrastruktur, tetapi juga kepada kualiti pengalaman pelawat serta kelestarian destinasi.

“Industri pelancongan dan hospitaliti saling berkait rapat dan sebarang perubahan dalam sektor berkenaan akan memberi kesan langsung kepada hotel, makanan dan minuman, pengangkutan, tarikan pelancongan serta komuniti setempat.

“Perancangan pelancongan tidak boleh hanya tertumpu kepada promosi dan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi perlu mengambil kira pengalaman pelancong, kualiti destinasi serta amalan pelancongan mampan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2026 MyBHA® Pahang yang diadakan di Hotel Apsara Temerloh, yang menghimpunkan pengusaha hotel serta pemain industri pelancongan dari seluruh negeri.

Beliau berkata, pembangunan pelancongan perlu lebih terbuka dalam mendengar pandangan dan penglaman para pelancong sendiri.

“Pandangan daripada pelawat dan orang luar boleh membantu mengenal pasti kelemahan serta aspek yang perlu dibaiki,” katanya.

Dalam pada itu, MyBHA menggesa penambah baikan segera terhadap beberapa destinasi utama di Pahang termasuk Cherating yang dilihat memerlukan suntikan baharu dari segi penjenamaan, promosi dan pembangunan produk pelancongan.

“Begitu juga Pulau Tioman yang mempunyai potensi pelancongan bertaraf dunia namun masih berdepan pelbagai cabaran dalam ekosistem pelancongan termasuk pengangkutan feri, kos perjalanan, kemudahan asas, kebersihan, penyelenggaraan dan koordinasi pembangunan pelancongan.

Selain itu, MyBHA Pahang turut membangkitkan isu penguatkuasaan terhadap penginapan tidak berlesen termasuk Pengendali Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) yang didakwa masih beroperasi tanpa kawalan sewajarnya.

“keadaan itu menimbulkan ketidakseimbangan kerana hotel berlesen perlu mematuhi pelbagai peraturan termasuk lesen, cukai, standard keselamatan dan operasi, sedangkan pengusaha tidak berlesen masih beroperasi secara terbuka.

“Semua pengusaha penginapan perlu berada di bawah kerangka perundangan yang jelas, adil dan dikuatkuasakan secara konsisten bagi memastikan kelestarian industri,” katanya.

Vijayendren menggesa pihak berkuasa tempatan supaya mewujudkan garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih jelas bagi penganjur acara untuk memudahkan proses kelulusan dan pelaksanaan acara berkaitan pelancongan di negeri ini.

“Pembatalan saat akhir memberi kesan bukan sahaja kepada penganjur, tetapi juga kepada industri hotel, pengangkutan dan ekonomi setempat.

Persatuan itu menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pemain industri dalam memperkukuh sektor pelancongan dan hospitaliti di Pahang.

“Kami kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa pelancongan, komuniti setempat dan pemain industri dalam memperkukuhkan industri pelancongan dan hospitaliti sambil menyokong pertumbuhan ekonomi mampan bagi negeri Pahang dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN