PORT DICKSON: Sektor pelancongan di Negeri Sembilan masih lagi bertahan dan tidak menerima kesan terlalu besar susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keadaan itu berikutan negeri ini bergantung dengan pelancong domestik berbanding pelancong antarabangsa.
Menurutnya, meskipun terdapat pengurangan kemasukan pelancong luar termasuk dari Asia Barat, China, Taiwan dan Hong Kong, namun kesannya masih terkawal.
“Memang ada kesan sedikit namun tidak besar kerana kita tidak terlalu bergantung kepada pelancongan luar.
“Pelancongan domestik kekal menjadi tunjang utama dan kita yakin ia terus berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada Program Kick-Off Penghijauan Malaysia 2.0 Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Tahun 2026 di PD Forest @ Sungai Menyala di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan pelbagai aktiviti pelancongan bagi memastikan sektor tersebut kekal berkembang.
“Kita tidak boleh elak situasi semasa ini, namun usaha perlu diteruskan dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti bagi menarik lebih ramai pelancong domestik,” katanya.
Aminuddin menambah, kerajaan negeri juga belum ada perancangan untuk melanjutkan tempoh Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026 namun sebarang keputusan akan dibuat mengikut keadaan semasa.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan penamanan sebanyak dua juta pokok sempena Program Kick-Off Penghijauan Malaysia 2.0 yang bermula tahun ini sehingga 2030.
“Penetapan sasaran ini melibatkan peningkatan sebanyak 500,000 pokok berbanding sasaran penanaman semasa Program Penghijauan 1.0.
“Semasa pelaksanaan Program Kick-Off Penghijauan Malaysia 1.0, negeri ini berjaya mencapai sasaran penamanan sebanyak 1.5 juta pokok,” katanya. – UTUSAN










