GEORGE TOWN : Pulau Pinang terbuka untuk menganjurkan mana-mana festival muzik bertaraf antarabangsa sekiranya mempunyai bajet, lokasi dan penganjur yang bersesuaian.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri sememangnya melihat festival muzik sebagai antara produk pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.
Katanya, pengalaman menganjurkan acara berbentuk festival muzik sebelum ini telah dilaksanakan sempena Penang Bridge International Marathon 2024 di Batu Kawan.
“Pada tahun 2024 apabila kita memindahkan Penang Bridge International Marathon ke Batu Kawan, kita telah mengadakan satu festival muzik sebelum larian itu berlangsung.
“Mungkin ramai tidak sedar kerana ia diadakan pada waktu malam, namun pelari-pelari yang hadir dapat menikmati pengalaman festival muzik sebelum acara larian,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Hon Wai (PH-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Joseph Ng Soon Siang (PH-Air Itam) sama ada Pulau Pinang bersedia untuk menganjurkan festival seperti festival Rain Rave seperti di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Kerajaan negeri melalui Penang Global Tourism turut merangka pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Antara produk pelancongan dan tarikan baharu yang diperkenalkan ialah Galeri Automotif Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Galeri Arkeologi Guar Kepar, Ferringhi Bay, Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Penang History Gallery, Penang Ferry Museum dan Penang River Cruise.
“Selain itu, tarikan lain termasuk Entopia by Night, Galeri Penang Hill @ Edgecliff, Umi Umi serta Forest Island yang memberi penekanan kepada pengalaman pelancongan lebih interaktif berasaskan warisan, budaya dan alam semula jadi,” katanya.
PGT turut mempergiat usaha promosi menerusi kempen digital seperti Penang Travel Deals, penganjuran lawatan pengenalan (FAM Trip) untuk media dan ejen pelancongan serta penyertaan dalam misi jualan dan pameran pelancongan di pasaran utama termasuk China, Indonesia, Thailand, Singapura dan India. – UTUSAN










