DALAM suasana ekonomi dunia yang masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan cabaran inflasi, Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, stabil dan berdaya tarikan tinggi.
Menurut laporan rasmi industri, ini dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk dasar kemasukan visa yang lebih fleksibel, pertambahan laluan penerbangan antarabangsa, serta kempen promosi yang agresif di pasaran Asia dan Timur Tengah.
Pelaksanaan inisiatif pengecualian visa bagi pelawat dari negara tertentu terbukti merangsang ketibaan pelancong, khususnya dari China dan India.
Hotel, pengangkutan, peruncitan, perkhidmatan makanan dan minuman serta perusahaan kecil dan sederhana menerima manfaat langsung daripada peningkatan ketibaan pelancong.
Dalam konteks ini, pertumbuhan pelancong turut menyumbang kepada peluang pekerjaan baharu dan peningkatan pendapatan komuniti tempatan. Namun begitu, pertumbuhan pesat ini turut menuntut pengurusan yang lebih terancang.
Destinasi popular berisiko berdepan tekanan kapasiti, kesesakan dan impak terhadap alam sekitar jika tidak diurus secara lestari.
Justeru, pendekatan pelancongan mampan perlu terus diberi keutamaan agar pembangunan industri tidak menjejaskan keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan komuniti setempat.
Dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, pencapaian tahun 2025 menjadi asas kukuh untuk memperkukuh lagi strategi pelancongan negara.
Fokus tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jumlah ketibaan, tetapi juga kepada kualiti pengalaman pelancong, tempoh tinggal yang lebih panjang dan peningkatan perbelanjaan per kapita.
Transformasi daripada pelancongan berasaskan kuantiti kepada pelancongan bernilai tinggi akan menentukan daya saing jangka panjang Malaysia di peringkat global.
Pengembangan destinasi baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu diperkasakan agar manfaat ekonomi dapat diagihkan secara lebih seimbang.
Pelancongan berasaskan komuniti, eko-pelancongan dan warisan budaya mampu menjadi pemangkin pembangunan inklusif yang menghubungkan pelancong dengan identiti sebenar Malaysia.
Rekod peningkatan 11.2 peratus pelancong antarabangsa pada tahun 2025 merupakan pencapaian yang signifikan. Ia membuktikan bahawa Malaysia memiliki asas yang kukuh dari segi infrastruktur, kepelbagaian produk dan kestabilan dasar.
Namun, kejayaan sebenar sektor ini bergantung kepada kemampuan negara mengekalkan momentum, memperkukuh daya tahan dan memastikan pertumbuhan yang dicapai adalah mampan.
Pelancongan hari ini bukan sekadar statistik ketibaan, tetapi cerminan reputasi, kepercayaan dan kualiti pengalaman sesebuah negara. Dalam setiap kedatangan pelancong, tersirat peluang ekonomi, pertukaran budaya dan tanggungjawab bersama untuk memelihara warisan yang dimiliki.
Malaysia kini berada pada kedudukan yang strategik untuk melangkah lebih jauh sebagai destinasi pelancongan unggul di peringkat antarabangsa. – UTUSAN
MOHD ADIB IZZAT MOHD. NOR
Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan UiTM










