Krisis Asia Barat jejas pelancongan Pahang

Krisis Asia Barat jejas pelancongan Pahang

KEADAAN chalet di Pulau Tioman di Rompin, Pahang yang sepi tanpa kehadiran pelancong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Krisis yang melanda Asia Barat kini memberi kesan tidak langsung kepada sektor pelancongan di negeri Pahang, khususnya melalui peningkatan harga bahan api global yang menekan kos operasi pengusaha tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, destinasi utama seperti Pulau Tioman, Rompin dan Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut misalnya begitu bergantung kepada perkhidmatan feri dan bot pelancong yang menggunakan diesel sepenuhnya.

Jadi beliau berkata, kenaikan harga bahan api diesel menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung kos lebih tinggi.

“Apabila kos operasi meningkat, pengusaha tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga tambang. Situasi ini boleh mempengaruhi keputusan pelancong asing untuk memilih destinasi percutian mereka, termasuk ke Pahang,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Yu Man berkata, secara keseluruhannya, semua subsektor dalam industri pelancongan menerima kesan, namun sektor yang paling terjejas adalah pengangkutan dan pengusaha kecil.

Ini kerana katanya, kedua-dua sektor itu bergantung kepada kos bahan api dan operasi harian, sebagai contoh, pengusaha bot pelancong di Pulau Tioman dan Taman Negara berdepan peningkatan kos diesel yang ketara.

“Begitu juga dengan pengusaha-pengusaha kecil seperti pemandu pelancong, operator aktiviti dan peniaga tempatan yang bergantung kepada aliran pelancong,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sektor perhotelan masih kekal stabil setakat ini daripada segi tempahan, kesan tidak langsung tetap dirasai sekiranya kos keseluruhan perjalanan meningkat dan jumlah pelancong mula berkurang.

“Kesimpulannya, sektor pengangkutan dan pengusaha kecil merupakan antara yang paling terdedah, manakala sektor lain turut menerima kesan secara berperingkat dalam rantaian industri pelancongan,” katanya.

Menurutnya, jika keadaan berterusan, ia bakal memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi pelancongan daripada kos operasi pengusaha, harga perkhidmatan, sehinggalah kepada daya tarikan destinasi.

“Akhirnya, jumlah kehadiran pelancong asing ke negeri ini juga boleh terjejas,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan bagi mencari langkah terbaik mengurangkan beban kos, sekali gus memastikan sektor pelancongan Pahang kekal berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN