MoU sokong agenda pembangunan ekonomi Sabah

MoU sokong agenda pembangunan ekonomi Sabah

NASARUDDIN Salim (kanan) dan Pengarah Urusan SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd, Mohammad Saufi Yusof menandatangani MoU di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd. dan SAAEM Sabah Sdn. Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha mengorak langkah strategik bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi Sabah.

Pengarah Urusan SAAEM Sabah Sdn. Bhd, Nasaruddin Salim berkata, agenda pembangunan itu khusus dalam memperkukuhkan penglibatan syarikat tempatan dan Bumiputera Sabah dalam sektor minyak dan gas yang semakin berkembang.

“Sabah mempunyai potensi yang sangat besar dalam sektor tenaga dan petroleum berikutan kedudukannya sebagai antara negeri pengeluar minyak dan gas utama negara.

“Namun, apa yang lebih penting ialah bagaimana pembangunan industri ini dapat memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi negeri, syarikat tempatan serta rakyat Sabah sendiri,” katanya pada majlis menandatangani MoU di sini hari ini.

Nasaruddin berkata, kerjasama yang dimeterai bukan tertumpu kepada pembangunan perniagaan semata-mata, tetapi juga kepada usaha membina ekosistem industri yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing melalui pembangunan kapasiti syarikat tempatan, pemerkasaan modal insan serta peningkatan penyertaan usahawan Bumiputera Sabah dalam rantaian nilai industri minyak dan gas.

Katanya, SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd. yang berasal dari Terengganu, mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak dan gas di Malaysia membawa bersama kepakaran teknikal serta pengalaman industri yang amat bernilai.

“Kami percaya pengalaman dan kepakaran itu mampu membantu memperkukuhkan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah melalui perkongsian ilmu, pembangunan teknikal, pemindahan teknologi serta peningkatan keupayaan syarikat tempatan agar lebih kompetitif dan berdaya saing.

“Penubuhan SAAEM Sabah Sdn. Bhd. pula dilihat sebagai satu inisiatif penting dan tepat pada masanya dalam menyokong dasar pembangunan ekonomi Sabah yang memberi penekanan kepada penglibatan lebih besar rakyat tempatan dalam sektor strategik negeri,” katanya.

Nasaruddin berkata, melalui MoU yang dimeterai, kedua-dua pihak akan bekerjasama memperkukuh pembangunan industri, membuka lebih banyak peluang kolaborasi serta membantu memperkasakan vendor dan kontraktor tempatan Sabah dalam sektor minyak dan gas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN