Hobi main tanah liat kini buka ruang pendapatan buat Rozian

Hobi main tanah liat kini buka ruang pendapatan buat Rozian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat terhadap seni tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar. Bagi Rozian Omar, 40, yang lebih mesra disapa sebagai Kakyan atau Maklang, semuanya bermula sejak sekolah apabila dia gemar bermain plastisin dalam aktiviti kelas.

“Dulu masa sekolah, cikgu selalu bagi projek guna plastisin. Saya bermain dengan kawan-kawan buat gunung, sawah padi. Lebihan tanah liat itu kadang bawa balik, sambung main sendiri di rumah,” katanya kepada Seri.

Tanpa disedari, pengalaman kecil itu menjadi asas kepada minatnya dalam seni tanah liat yang masih diteruskan sehingga kini.

Menurut Rozian, penglibatannya dalam seni tanah liat mula berkembang sekitar tahun 2025 apabila dia menerima permintaan rakan-rakan untuk menghasilkan gantungan kunci tempahan khas.

“Dari situ saya mula cuba perlahan-lahan. Bermula dengan gantungan kunci, kemudian magnet peti ais, anting-anting dan akhirnya kerongsang,” katanya.

Daripada sekadar mencuba, hobi itu kini menjadi rutin yang memberi kepuasan tersendiri, terutama apabila menghasilkan rekaan berbentuk makanan yang dekat dengan kehidupan seharian.

Hasil pertamanya ialah kerongsang berbentuk karipap, masih diingati sehingga hari ini.

Walaupun tidak sempurna, pengalaman itu menjadi titik mula yang bermakna dalam perjalanan hobinya.

“Rasa seronok sebab macam limited edition walaupun rupa tak seperti yang diharapkan,” katanya.

Bagi Rozian, seni tanah liat ini kekal sebagai hobi yang memberi ketenangan dan ruang untuk mengekspresikan kreativiti diri melalui setiap hasil tangan yang dihasilkan.

Pemilihan kerongsang sebagai medium utama juga hadir secara semula jadi kerana ia dekat dengan dirinya sebagai wanita bertudung.

“Saya sendiri pakai kerongsang, jadi rasa lebih dekat dengan hasil tangan sendiri,” jelasnya.

MALAM PALING TENANG

Bagi Rozian, waktu malam menjadi ruang paling tenang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada seni tanah liat.

Dalam suasana yang lebih sunyi tanpa gangguan, dia selalunya mula berkarya sekitar jam 11 malam dan tanpa disedari masa boleh berlalu hingga jam 3 atau 4 pagi.

“Kadang tak rasa waktu berjalan dengan cepat, bila dah mula pegang tanah liat, tahu-tahu dah lewat pagi,” katanya.

Pada waktu siang, rutin harian sebagai suri rumah seperti memasak dan membasuh banyak mengisi masa hariannya.

Namun, di celah kesibukan itu, dia tetap akan mencuri ruang untuk meneruskan kerja-kerja membentuk tanah liat apabila sempat.

“Siang memang banyak aktiviti harian. Lepas masak dan siap semua, baru boleh buat tanah liat. Kadang-kadang mula jam 12.30 tengah hari, sempat juga siapkan dua talam,” jelasnya.

Waktu malam selepas solat Isyak pula menjadi pilihan utama kerana suasananya lebih tenang dan fokus lebih mudah diberikan.

“Malam tu memang banyak masa. Kalau tak ada apa nak buat, memang hadap tanah liat,” katanya.

Baginya, keseimbangan antara tanggungjawab harian dan minat peribadi menjadi kunci untuk dia terus konsisten dalam menghasilkan karya tanah liat yang diminatinya.

CABARAN

Dalam proses membuat tanah liat, Rozian tidak lari daripada cabaran, terutama dalam fasa membentuk asas sesuatu rekaan.

Baginya, jika bahagian awal tidak menjadi seperti yang diinginkan, ia akan memberi kesan kepada keseluruhan hasil termasuk proses mewarna.

“Bahagian membentuk memang paling mencabar kerana kalau asasnya tidak menjadi, memang susah nak selamatkan masa proses mewarna nanti,” katanya.

Namun begitu, dia memilih untuk tidak melihat kesilapan sebagai kegagalan.

Sebaliknya, setiap hasil yang kurang menjadi dianggap sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

“Saya anggap seni itu memang seni, tiada yang benar-benar sempurna. Lagipun, makanan sebenar pun kadang-kadang ada juga yang hangus,” katanya.

Rozian banyak bergantung kepada pembelajaran kendiri melalui video di media sosial, selain mengamalkan konsep cuba dan baiki.

Jika hasil tidak memuaskan, dia akan berhenti seketika untuk berehat sebelum kembali mencuba.

“Kalau buat tak jadi, saya ambil masa untuk berehat. Lepas tu buat semula sampai jadi, sampai puas hati,” katanya.

Dari segi proses, setiap brooch bermula dengan idea, diikuti pembentukan clay, pembakaran dalam oven, mewarna dan seterusnya kemasan menggunakan UV resin sebelum dipasang pin.

Bagi rekaan berbentuk karipap, keseluruhan proses boleh mengambil masa sekitar 30 minit.

Menurutnya, bahagian paling mencabar adalah pada perincian halus seperti tekstur makanan dan teknik mewarna yang perlu kelihatan realistik.

“Saya cuba memastikan hasil tu nampak seperti makanan sebenar,” jelasnya.

Kepuasan terbesar baginya adalah apabila hasil yang dibuat kelihatan begitu realistik sehingga ada yang menyangka ia makanan sebenar.

INSPIRASI DARI SEKELILING

Inspirasi Rozian dalam menghasilkan rekaan datang daripada perkara yang sangat dekat dengan kehidupan seharian, khususnya makanan yang sentiasa dilihat di sekelilingnya.

“Hari-hari kita nampak makanan, lagi-lagi musim perayaan, macam-macam bentuk kuih raya yang cantik,” katanya.

Persekitaran ini menjadi pencetus idea utama, namun inspirasi Rozian tidak terhad di situ sahaja.

Dia turut aktif mencari rujukan melalui platform digital bagi menambah idea dan kemahiran.

Antara yang sering menjadi tumpuan ialah TikTok, apabila dia gemar melihat hasil karya artisan tanah liat dari luar negara yang kreatif dan unik.

Selain itu, Pinterest menjadi salah satu platform utama untuk mencari idea dan panduan yang lebih terperinci.

“Kalau untuk rujukan, saya banyak scroll Pinterest. Memang membantu, kadang ada idea atau tutorial yang sangat berguna,” ujarnya.

Gabungan inspirasi daripada persekitaran harian dan sumber digital ini membantu Rozian memperkaya idea serta mengembangkan kreativiti, sekali gus membolehkannya menghasilkan rekaan berasaskan makanan yang lebih unik dan menarik.

SUMBER REZEKI

Apa yang bermula sebagai hobi kini turut membuka ruang pendapatan buat Rozian.

Dia kini menerima tempahan kerongsang tanah liat daripada pelanggan, malah hasil karyanya pernah dihantar sehingga ke Singapura.

“Seronok sangat apabila hobi boleh jadi duit, alhamdulillah dapat bantu perbelanjaan,” katanya.

Namun begitu, Rozian menjelaskan bahawa pendapatan yang diperoleh tidak tetap kerana ia bergantung kepada jumlah tempahan dan kemampuan untuk menyiapkan setiap projek dalam sesuatu tempoh.

Setakat ini, pendapatan tertinggi yang pernah dicapai adalah sekitar RM3,000 sebulan.

Dalam masa yang sama, platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram banyak membantu dalam memperluaskan capaian karyanya kepada orang ramai.

Secara tidak langsung, ia membuka peluang lebih besar untuk menarik minat pelanggan dan meningkatkan jualan.

Lebih menyentuh hati, terdapat pelanggan yang menempah kerongsang berdasarkan makanan kegemaran insan tersayang yang telah tiada.

SOKONGAN KELUARGA

Rozian bersyukur kerana menerima sokongan penuh daripada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam meneruskan minatnya dalam seni tanah liat.

Bagi Rozian, galakan yang diterima banyak membantunya untuk terus konsisten walaupun berdepan cabaran dalam mencari idea baharu serta mengekalkan momentum dalam penghasilan karya.

Dalam masa yang sama, dia berharap seni clay yang diusahakan ini akan terus berkembang dan mendapat sambutan yang lebih luas daripada masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN