PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal membentangkan cadangan bajet berjumlah RM257 juta bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan Rancangan Perniagaan 2027 pada Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa Ke-40 (MAPA) 2026, 27 Jun ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan bajet itu penting bagi memperkukuh agenda koperasi negara dan kedudukan Angkasa.
Katanya, pelaksanaan beberapa projek strategik melalui bajet itu mampu menjadi pemangkin kepada pengembangan sektor koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Ini penting untuk memantapkan kedudukan Angkasa dan koperasi pada masa depan.
“Projek-projek yang akan dijalankan merupakan ‘stepping stone’ untuk memenuhi tuntutan pasaran di Malaysia, rantau ASEAN dan peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media MAPA Ke-40 2026 di sini, semalam.
Menurut Abdul Fattah, MAPA 2026 yang dijangka menghimpunkan lebih 5,000 wakil koperasi seluruh negara itu akan turut membentangkan prestasi kewangan dan operasi organisasi bagi tahun lalu selain meneliti rancangan perniagaan serta bajet aktiviti untuk tahun kewangan 2027.
“Pembentangan rancangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Angkasa dalam memastikan setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja memenuhi keperluan semasa koperasi anggota, malah mampu menyokong pertumbuhan dan kemampanan gerakan koperasi pada masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 33 usul diterima untuk dibahaskan dalam MAPA Ke-40 yang meliputi cadangan berkaitan hala tuju Angkasa, pembangunan gerakan koperasi serta isu-isu yang menyentuh kepentingan sektor berkenaan.
Katanya, antara cadangan yang dijangka mendapat perhatian ialah usaha memperkukuh peranan koperasi dalam proses penggubalan dasar negara termasuk cadangan mewujudkan wakil koperasi dalam Dewan Negara.
“Gerakan koperasi mempunyai 7.3 juta ahli di seluruh negara dan merupakan antara kelompok terbesar dalam ekonomi rakyat.
“Justeru, suara koperasi perlu diberikan ruang di peringkat pembuat dasar,” katanya.
Beliau berkata, perwakilan juga dijangka mengemukakan cadangan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan pembangunan sektor koperasi kepada sekurang-kurangnya RM500 juta.
Menurutnya, tambahan peruntukan tersebut penting bagi mempercepat pembangunan koperasi khususnya dalam sektor peruncitan, keterjaminan makanan dan pendigitalan yang menjadi antara fokus utama gerakan koperasi negara.
Dalam MAPA kali ini juga, dua jawatan Naib Presiden Angkasa turut dipertandingkan susulan tamat tempoh perkhidmatan penyandang sedia ada, Datuk Che Mohd. Shukri Che Isa dan Datuk Ibrahim Abdullah yang menawarkan diri untuk dipilih semula.
Mereka akan dicabar oleh dua calon baharu iaitu Datuk Mohd. Saat Ismail dan Haji Zaharuddin Alias. – UTUSAN










