PETALING JAYA: Kurang 10 peratus daripada 300 syarikat kapal di negara ini menandatangani perjanjian kolektif (CBA) bersama Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM).
Setiausaha NUSPM, Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, situasi itu agak mengecewakan selepas ia disifatkan sebagai tindakan lepas tangan syarikat perkapalan terhadap kebajikan kru kapal.
Katanya, syarikat kapal yang gagal memeterai CBA boleh memberi kesan kepada hak dan perlindungan pekerja khususnya dalam aspek gaji, faedah dan jaminan kebajikan pelaut tempatan.
“CBA merupakan instrumen penting dalam melindungi kepentingan pelaut kerana ia menyediakan garis panduan yang jelas mengenai syarat pekerjaan, kebajikan dan tanggungjawab majikan.
“Kes-kes pengabaian sebagaimana yang berlaku terhadap kapal MV Berkat Tuah mengingatkan semua pihak tentang kepentingan mewujudkan perlindungan yang kukuh dan berkesan bagi kru kapal,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Berdasarkan laporan. gaji mereka belum dibayar syarikat kapal selama empat bulan.
Dalam pada itu Ikmal Azam Thanaraj berkata, walaupun kapal tersebut tidak tertakluk kepada CBA, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip kebajikan, hak dan kesejahteraan anak-anak kapal mesti diberi keutamaan tanpa mengira status majikan, bendera kapal atau kru tersebut sama ada dilindungi di bawah perjanjian berkenaan atau sebaliknya.
Katanya, kes ini sekali lagi menunjukkan pentingnya perlindungan yang disediakan melalui mekanisme perundingan kolektif dalam industri perkapalan.
“Dalam situasi di mana sesebuah kapal berdepan dengan penahanan, pertikaian komersial atau cabaran operasi, golongan pelaut sering menjadi pihak yang paling terkesan.”
“CBA bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak kru terus dipelihara, termasuk pembayaran gaji, akses kepada keperluan asas, rawatan perubatan, keselamatan serta pengaturan repatriasi sekiranya diperlukan,” ujarnya. – UTUSAN










