KUANTAN: Nasib anak kapal MV Berkat Tuah yang terkandas di Pelabuhan Hamriya, Dubai belum menemukan titik noktah apabila sebahagian daripada mereka masih menunggu pembayaran gaji tertunggak selain kepastian berhubung status kepulangan ke tanah air.
Bekas kru kapal itu, Muhammad Kamal Idzhamuddin Kamal Ariffin berkata, sehingga kini dia belum menerima baki gaji tertunggak selama empat bulan manakala beberapa rakannya yang masih berada di atas kapal dipercayai mempunyai tunggakan lebih lama.
Katanya, mereka hanya mampu menunggu tindakan syarikat pemilik kapal bagi menyelesaikan isu berkenaan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
“Kami semua masih menunggu pihak syarikat kapal menyelesaikan pembayaran gaji. Setakat ini kami hanya bergantung kepada garis masa yang diberikan oleh Shapadu Marine, namun sehingga kini masih tiada perkembangan baharu.
“Saya ada menghubungi pihak berkaitan termasuk pemilik kapal namun belum menerima sebarang maklum balas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Menurut Muhammad Kamal Idzhamuddin, dia kini terpaksa kembali bekerja dalam industri perkapalan di perairan Malaysia bagi menampung perbelanjaan harian dan melangsaikan hutang yang tertunggak akibat tidak menerima gaji.
“Saya tidak boleh menunggu terlalu lama kerana masih ada komitmen kewangan yang perlu diselesaikan. Saya bernasib baik kerana sudah mendapat pekerjaan baharu namun rakan-rakan di Dubai berdepan tekanan lebih besar.
“Mereka masih berada di atas kapal kerana kapal tidak boleh ditinggalkan tanpa kru. Buat masa ini, satu-satunya cara adalah dengan mendapatkan pengganti sebelum mereka boleh pulang,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Malaysia (NUSPM), Jabatan Laut Malaysia dan beberapa agensi lain telah tampil membantu memperjuang nasib anak kapal terbabit.
Katanya, usaha kini tertumpu kepada memberi tekanan kepada pemilik kapal dan pihak penyewa, Dynamic Navigation supaya segera menyelesaikan isu pembayaran gaji serta urusan repatriasi kru yang masih terkandas.
“Kalau mengikut jadual yang diberikan oleh pemilik kapal dan Shapadu Marine, perkara ini sepatutnya ada penyelesaian selewat-lewatnya pada 17 Jun ini, namun sehingga hari ini masih tiada kata putus.
“Rakan-rakan yang masih berada di sana memaklumkan keadaan masih sama seperti sebelum ini dan mereka masih belum menerima gaji. Mereka kini ditanggung oleh insurans tetapi kami sendiri tidak pasti sampai bila bantuan itu akan diteruskan,” katanya. –UTUSAN










