PETALING JAYA: Menara Kuala Lumpur akan disinari cahaya biru pada malam 18 Mei ini sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 yang diraikan di seluruh dunia.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan LSH Service Master Sdn. Bhd. selaku pengurusan Menara KL.
Menurut Kementerian Perpaduan Negara, sambutan tahun ini membawa tema ‘Museums Uniting a Divided World’ atau ‘Muzium sebagai Wadah Penyatuan Dunia yang Terpisah’.
Tema itu menekankan peranan institusi muzium dalam membina kefahaman, memperkukuh perpaduan serta merapatkan jurang budaya dan sosial dalam masyarakat global yang semakin mencabar.
“Pencahayaan biru itu menjadi simbol sokongan terhadap usaha memperkasakan muzium sebagai institusi ilmu, warisan dan pendidikan.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, kementerian komited untuk terus memperkukuh sektor warisan dan permuziuman negara agar kekal relevan serta inklusif.
“Usaha berkenaan akan diperkasakan menerusi pendekatan pendidikan, teknologi serta penglibatan komuniti khususnya dalam mendekati generasi muda,” katanya.
Orang ramai turut dijemput untuk menyemarakkan sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2026 dengan mengunjungi muzium di seluruh negara selain menyertai pelbagai program pendidikan, kebudayaan dan warisan yang dianjurkan. – UTUSAN









