PETALING JAYA: Menara Kuala Lumpur akan disinari dengan cahaya biru pada 18 dan 19 Julai ini sebagai tanda sokongan terhadap Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, cahaya biru yang menerangi mercu tanda ikonik itu melambangkan semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.
“Simbolik cahaya biru ini mencerminkan komitmen seluruh rakyat untuk terus memelihara perpaduan dan toleransi dalam kepelbagaian budaya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman menzahirkan komitmen menyokong usaha KPN bagi memupuk semangat perpaduan nasional.
“Menara KL menjadi simbol bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sambutan tahun ini berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dari 17 hingga 20 Julai, dengan pelbagai program menarik untuk melibatkan rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. – UTUSAN










