KUALA LUMPUR: Sejarah baharu tercipta di Stadium Titiwangsa apabila skuad kuadran negara menjulang gelaran Piala Dunia Sepak Takraw buat kali pertama selepas menewaskan India 2-0 pada aksi final, sebentar tadi.
Kejayaan penuh bergaya itu hadir tepat pada masanya bagi menebus kekecewaan kem negara yang sebelum itu terkandas di separuh akhir acara regu, sekali gus mengangkat semula maruah Malaysia di pentas dunia.
Lebih manis, kejayaan tersebut mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa baharu acara kuadran selepas turut muncul juara Piala Asia tahun lalu.
Barisan negara yang dibarisi perejam Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Shahalril Aiman Halim, bersama tekong Amirul Zazwan Amir serta Aidil Aiman Zawawi selaku pengumpan merangkap ketua pasukan tampil dengan aksi penuh disiplin dan keyakinan tinggi.
Set pertama berlangsung cukup mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas mata hingga terikat 14-14.
India yang dipacu Akash Yumnam dan Bobby Kumar beberapa kali menguji benteng negara menerusi variasi rejaman tajam dan pantas, namun skuad negara kekal tenang dalam detik genting.
Sorakan hampir 3,000 penyokong yang membanjiri Stadium Titiwangsa nyata menjadi pembakar semangat apabila Malaysia menutup set pertama dengan kemenangan tipis 17-15.
Momentum itu diteruskan dalam set kedua apabila skuad negara lebih tersusun dan menguasai rentak permainan sebelum menoktahkan kemenangan 15-10 untuk mengesahkan gelaran dunia pertama menjadi milik Malaysia.
Sementara itu, Thailand turut meraih kejuaraan dalam acara regu selepas dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Myanmar 2-1 dalam satu lagi aksi final yang berlangsung sengit.-UTUSAN










