Pemakaian loceng pada kolar kucing sering digunakan oleh pemilik haiwan peliharaan bagi memudahkan mereka mengesan lokasi kucing, selain membantu mengurangkan pemangsaan hidupan liar.
Namun begitu, timbul persoalan sama ada bunyi loceng yang sentiasa berada dekat dengan telinga kucing boleh memberi kesan terhadap pendengaran, emosi dan kebajikan haiwan tersebut.
Pensyarah kanan dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syamira Syazuana Zaini berkata, pendengaran kucing merupakan antara yang paling tajam berbanding haiwan lain kerana mampu mendengar frekuensi sehingga 64,000 Hz, berbanding manusia yang hanya sekitar 20,000 Hz.

Walau bagaimanapun, bunyi loceng pada kolar lazimnya berada pada tahap 50 hingga 60 desibel (dB), iaitu tidak cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan fizikal pada pendengaran kucing.
“Dalam konteks penggunaan loceng pada kolar, risiko kerosakan pendengaran jangka panjang tidak semestinya berlaku kerana tahap desibel bunyi yang dihasilkan masih berada dalam julat rendah,” katanya kepada Seri.
Boleh cetuskan stres
Walaupun tidak merosakkan pendengaran, bunyi loceng yang berterusan berpotensi menyebabkan stres atau kebimbangan kepada sesetengah kucing, terutama yang mudah takut atau sensitif.
“Bunyi yang kerap dan berterusan boleh menyebabkan mereka berasa tidak tenang. Tambahan pula, kucing ialah pemangsa yang menyergap, dan pemakaian loceng mendedahkan lokasi mereka setiap kali bergerak,” jelasnya.
Keadaan ini boleh mengganggu naluri semula jadi kucing, sekali gus menyebabkan mereka berasa tidak selesa atau kecewa.
Manfaat loceng pada kolar
Pada masa yang sama, pemakaian loceng pada kolar sebenarnya mempunyai beberapa manfaat tertentu, terutama bagi kucing yang berada di luar rumah.
Beliau berkata, dapatan kajian literatur menunjukkan kolar membolehkan pengenalan diri secara visual selain pemasangan peranti penjejak frekuensi radio bagi mengesan lokasi kucing melalui GPS.
Sesetengah pemilik juga menggunakan kolar dan tag nama untuk menunjukkan bahawa kucing tersebut mempunyai pemilik, dengan tag ID mengandungi maklumat hubungan bagi memudahkan proses dihubungi sekiranya haiwan itu hilang.
Walaubagaimanapun, beliau menegaskan pemasangan mikrocip kekal menjadi kaedah pengenalan diri paling selamat dan kekal.
Kurangkan pemangsa hidupan liar
Kajian oleh Royal Society for the Protection of Birds menunjukkan penggunaan loceng pada kolar kucing boleh mengurangkan bilangan burung yang ditangkap oleh haiwan tersebut.
“Walaupun loceng mungkin tidak menghentikan sepenuhnya kucing daripada menangkap hidupan liar, ia tetap membantu mengurangkan kes pemangsaan,” katanya.
Kolar yang mempunyai jalur pemantul cahaya boleh membantu kucing yang berada di luar rumah pada waktu malam untuk lebih mudah dilihat, terutama ketika melintasi jalan.
Tidak semua sesuai pakai loceng
Menurutnya, tidak semua kucing sesuai memakai loceng kerana kesesuaiannya bergantung kepada individu serta gaya hidup haiwan tersebut sama ada tinggal di dalam atau di luar rumah.
Antara tanda kucing tidak selesa termasuk tingkah laku menggaru atau menggosok secara berlebihan, selain masalah pada bulu dan kulit seperti bulu bergumpal (matting), keguguran bulu serta kemerahan kulit.
Mikrocip lebih selamat
Dr. Syamira berkata, terdapat beberapa alternatif yang lebih selamat bagi tujuan mengenal pasti atau menjejak kucing tanpa menggunakan loceng.
Antaranya ialah mikrocip, tag nama jenis rata yang tidak berbunyi tetapi mengandungi maklumat pemilik, serta kolar jenis ‘breakaway’ atau ‘snap-open’ yang boleh terbuka sendiri jika kucing terperangkap.
“Untuk penggunaan tanpa pengawasan, pemilik disarankan memilih kolar yang mudah terbuka bagi mengurangkan risiko terjerat,” katanya.
Terdapat juga pilihan kolar kertas yang mudah koyak dan boleh ditulis maklumat pemilik, namun keberkesanannya masih kurang dikaji.
Kebajikan perlu jadi keutamaan
Mengulas dari sudut kebajikan haiwan, beliau berkata penggunaan loceng tidak boleh dianggap sepenuhnya betul atau salah kerana ia melibatkan keseimbangan antara tanggungjawab ekologi dan keselesaan kucing.
Bagi kucing luar rumah, loceng membantu mengesan lokasi dan mengurangkan pemangsaan hidupan liar.
Namun bagi kucing dalam rumah, bunyi berterusan boleh menyebabkan tekanan emosi.
“Dalam situasi ini, penggunaan tag nama mungkin lebih sesuai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan kolar jenis breakaway adalah penting bagi mengelakkan risiko tercekik.
Berat dan saiz loceng penting
Tambah beliau, berat dan saiz loceng memainkan peranan penting dalam menentukan tahap keselesaan kucing.
Loceng terlalu besar dan berat boleh memberi tekanan pada otot leher serta meningkatkan risiko kucing tersangkut.
“Pemilik perlu memilih loceng yang ringan dan kecil. Idealnya sekitar satu hingga dua gram untuk anak kucing atau kira-kira 0.5 peratus daripada berat badan kucing dewasa,” katanya.










