Bila fesyen jadi seni

Bila fesyen jadi seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada pakaian yang kita pakai setiap hari. Dan ada pakaian yang membuatkan orang berhenti, pandang lama dan tertanya-tanya apa sebenarnya mereka lihat. Di situlah fesyen mula jadi seni.

Setiap tahun, dunia fesyen berkumpul di New York City untuk satu acara besar iaitu Met Gala yang berlangsung di Metropolitan Museum of Art. Ia adalah acara kutipan dana untuk Costume Institute, tetapi lebih daripada itu, Met Gala ialah pentas di mana fesyen ditolak ke tahap yang lebih berani. Setiap tahun ada tema yang mencabar pereka dan selebriti untuk berfikir di luar kebiasaan.

Tema tahun ini, ‘fesyen adalah seni’ sangat jelas maksudnya. Fesyen bukan lagi sekadar pakaian yang cantik atau ikut trend. Ia adalah cara untuk menyampaikan idea dan emosi. Di karpet merah, kita tidak hanya nampak gaun atau sut. Kita nampak konsep yang diterjemahkan dalam bentuk pakaian.

Perkara yang sama boleh dilihat dalam rekaan Myrra Salleh, graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Koleksi ini bermain dengan cara kita melihat sesuatu. Ia tidak cuba untuk kelihatan biasa.

Ia memang mahu kita berhenti dan berfikir.

Inspirasi utama datang daripada optical art dan ilusi optik. Corak hitam putih dengan garis berulang mencipta kesan seolah-olah bergerak. Walaupun fabrik itu rata, mata kita rasa seperti ada pergerakan. Ini yang membuatkan rekaan ini menarik. Kita tidak pasti apa yang kita lihat pada pandangan pertama.

Siluet pula dibentuk dengan struktur yang kuat. Ada jaket dengan volum besar, skirt yang mempunyai bentuk jelas dan gaun yang nampak seperti arca. Fabrik neoprene membantu mengekalkan bentuk ini supaya ia tidak jatuh lembik. Jadi setiap rekaan nampak kemas dan tegas.

Teknik quilting pula menambah lapisan dan tekstur pada fabrik. Dari jauh, corak nampak seperti bergerak. Bila kita dekat, kita boleh nampak jahitan dan struktur yang membentuk corak itu.

Koleksi ini sebenarnya selari dengan semangat Met Gala. Kedua-duanya menunjukkan fesyen boleh jadi lebih daripada pakaian. Ia boleh menjadi platform untuk bercerita dan berkongsi perspektif.

Tip saya untuk menggayakan busana seperti ini, biarkan corak menjadi fokus utama. Corak hitam putih ini sudah cukup kuat, jadi tidak perlu aksesori yang banyak. Pilih kasut yang ringkas supaya tidak menganggu keseluruhan gaya.

Kedua, seimbangkan bentuk. Jika anda memakai jaket yang besar, padankan dengan inner yang lebih fit. Jika bahagian bawah sudah besar, bahagian atas biar lebih ringkas.

Ini membantu untuk anda nampak lebih kemas dan tidak terlalu berat.

Ketiga, gunakan warna hitam sebagai asas. Inner, kasut atau beg dengan rona warna hitam akan membantu nampak kemas dan mudah digayakan. Keempat, pakai dengan yakin. Rekaan seperti ini memang menonjol. Jadi cara terbaik untuk menggayakannya adalah dengan rasa selesa dan yakin dengan diri sendiri.

Akhirnya, fesyen seperti ini mengingatkan kita tidak perlu berada di karpet merah di New York untuk menghargai fesyen sebagai seni. Kadang-kadang cukup dengan satu rekaan yang berani untuk mengubah cara orang melihat.

Bila orang berhenti dan pandang dua kali, itu bukan kebetulan. Itu tanda fesyen itu sudah berjaya menjadi sesuatu yang lebih daripada biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN