Kes pembunuhan wanita dalam hubungan cinta mungkin jarang berlaku, namun setiap kejadian amat menggerunkan. Kes-kes tragis kebelakangan ini membuka mata masyarakat tentang sisi gelap hubungan yang sepatutnya berasaskan kasih sayang dan kepercayaan.
Pada 2023, negara dikejutkan dengan kes Nur Anisah Abdul Wahab, 21, seorang wanita hamil yang dibunuh dengan kejam oleh kekasihnya sendiri. Mangsa bukan sahaja ditikam, malah ditoreh perut dan dibakar sebelum mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit di Sungai Besar, Selangor.
Kekejaman ini bukan sahaja menyayat hati, tetapi mencerminkan tahap keganasan yang melampaui batas kemanusiaan.
Tahun berikutnya, satu lagi kes menyedihkan berlaku melibatkan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Suspek merupakan kekasihnya sendiri yang juga anggota polis. Mayat mangsa turut ditemui di ladang kelapa sawit, seakan-akan mengulangi corak jenayah yang sama dan menambah keresahan dalam kalangan masyarakat.
Pada tahun ini, kes Nurfisya Zulkifly, 19, menjadi perhatian apabila dia ditikam sebanyak 61 kali oleh suspek dipercayai kekasihnya. Mayatnya ditemukan berhampiran kawasan sawah padi. Jumlah tikaman tersebut cukup menggambarkan tahap kemarahan dan tindakan luar kawal yang tidak dapat diterima akal.
Walaupun kes seperti ini tidak berlaku setiap hari, kesannya amat besar terhadap rasa selamat, khususnya dalam kalangan wanita. Namun lebih membimbangkan, setiap kali berita sebegini tular, masih ada suara yang pantas menyalahkan mangsa.
Ungkapan seperti ‘kalau tak melayan’, ‘kalau tak beri harapan palsu’, sering dilontarkan seolah-olah tragedi ini berpunca daripada tindakan mangsa sendiri.
Hakikatnya, kenyataan seperti ini langsung tidak mencerminkan empati. Bukan sahaja terhadap mangsa, tetapi juga terhadap keluarga yang berdepan kehilangan.
Apa yang perlu difahami dengan jelas ialah, walau apa pun puncanya, keganasan bukanlah pilihan. Rasa marah, cemburu atau kecewa tidak pernah menjadi alasan untuk mencederakan, apatah lagi meragut nyawa seseorang. Itu adalah garis paling asas yang tidak boleh dilanggar dalam mana-mana keadaan.
Justeru, persoalan sebenar yang perlu ditanya ialah tentang sikap pelaku yang gagal mengawal emosi, bertindak melulu dan memilih kekerasan sebagai jalan keluar. Menyalahkan mangsa bukan sahaja tidak adil, malah membiarkan punca sebenar terus berulang.
Sudah tiba masanya kita mengubah cara fikir. Masyarakat perlu lebih menekankan pendidikan tentang hubungan sihat, kawalan emosi dan tanggungjawab dalam perhubungan. Lelaki khususnya perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka, tanpa sebarang alasan yang menormalisasikan keganasan.
Keselamatan wanita bukan isu remeh. Ia adalah tanggungjawab bersama.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia










