PETALING JAYA: Sistem peluru berpandu anti-kapal generasi kelima Exocet MM40 Block 3 antara pilihan sesuai bagi melengkapkan keupayaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), susulan pembatalan penghantaran peluru berpandu antikapal dari Norway.
Penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, ini kerana LCS Kelas Maharaja Lela milik TLDM direka bentuk menggunakan sistem tempur SETIS daripada Naval Group buatan Perancis dengan kemampuan untuk di0integrasi dengan beberapa jenis peluru berpandu moden termasuk Exocet MM40 Block 3.
Malah katanya, TLDM mempunyai pengalaman luas bagi penggunaan peluru berpandu jenis Exocet untuk kegunaan kapal seperti Kapal Diraja (KD) Jebat dan KD Kasturi.
“Kalau peluru berpandu Norwar boleh diintegrasi dengan sistem tempur SETIS, Exocet MM40 Block 3 antara yang boleh dijadikan sebagai pilihan. Tambahan pula kedua-dua senjata tersebut dari negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Bagaimanapun, kita perlu melihat ada atau tidak klausa dalam perjanjian sistem tersebut sekiranya sistem berkenaan boleh digandingkan bersama atau tidak. Kita bimbang pengeluar peralatan asal (OEM) ada halangan untuk berbuat demikian Sebabnya OEM mempunyai hak kepada setiap peralatan yang dikeluarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norway sebelum ini membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran peluru berpandu NSM yang dibangunkan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Malaysia.
Difahamkan keputusan untuk menghentikan penghantaran peluru berpandu NSM itu telah dimaklumkan kepada Mohamed Khaled dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April, iaitu hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026.
Kontrak pembelian dua set pelancar NSM dimeterai pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2025) dengan melibatkan kos kira-kira RM44 juta.
Dalam pada itu penganalisis pertahanan Zaki Salleh berkata, keputusan Norway itu berkait dengan kepentingan strategik Amerika Syarikat (AS).
Oleh itu katanya, kerjasama dan keutamaan dalam kalangan negara NATO lebih diberi perhatian. – UTUSAN










