Soalan:
Saya putus asa dengan hidup saya. Kerjaya tidak stabil, keluarga huru-hara, putus cinta. Hidup saya sangat menyedihkan. Adakah saya akan terus hidup malang selamanya?
Yang Malang
Jawapan:
Dalam kehidupan ini, setiap insan pasti melalui fasa rapuh dalam hidup mereka. Segala yang dilakukan terasa tidak menjadi dan terlalu berat untuk diteruskan. Ketika ini, seseorang akan mudah untuk mengalah dan percaya hidup mereka malang. Namun, ia bukanlah penamat dalam kehidupan jika anda bangkit semula menjadi lebih kuat. Berikut adalah panduan untuk anda:
Kenali dan terima emosi Rasa sedih, kecewa atau marah adalah normal. Jangan menolak perasaan itu, sebaliknya akui dengan jujur. Penerimaan ini dapat membantu anda lebih tenang dan memudahkan untuk anda mengawal emosi dengan lebih baik.
Elakkan keputusan ketika beremosi
Bila tertekan, fikiran anda akan cenderung untuk membuat keputusan secara drastik. Keputusan yang dibuat dalam keadaan beremosi biasanya akan menimbulkan penyesalan akan datang. Oleh itu, beri masa untuk diri bertenang sebelum membuat keputusan penting.
Fokus satu masalah satu masa
Bila terlalu banyak masalah, anda akan merasa hidup terlalu berat dan tidak terkawal. Sebenarnya, anda tidak perlu menyelesaikan semua sekaligus. Pilih satu yang paling mendesak dan fokus satu persatu. Bila satu perkara mula stabil, anda akan lebih kuat untuk menghadapi masalah seterusnya.
Cari sokongan
Jangan menanggung semuanya seorang diri. Berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai seperti rakan rapat, ahli keluarga atau kaunselor yang boleh membantu mengurangkan beban emosi. Kadang-kadang, mendengar pandangan orang lain membantu kita melihat situasi dengan tenang.
Jaga rutin asas diri
Bila beremosi, kita cenderung untuk mengabaikan diri sendiri. Fokus untuk jaga kesihatan diri dengan memastikan tidur yang cukup, makan secara teratur dan bersukan agar dapat membantu menstabilkan emosi anda semula. Badan yang stabil akan membantu minda lebih tenang.
Tukar cara berfikir
Cara anda bercakap dengan diri sendiri sangat mempengaruhi emosi. Jika anda merasa diri “malang”, anda akan rasa hidup anda tiada harapan. Tetapi jika anda mengubah perspektif kepada “aku sedang diuji”, anda akan lebih terbuka mencari jalan keluar. Ini bukan menafikan kesakitan, tetapi belajar untuk memberi makna dalam kehidupan.
Kesimpulan: Jatuh bangun adalah lumrah kehidupan. Hadapi dengan tenang dan berlapang dada, kerana kekuatan sebenar terletak pada kemampuan untuk kita bangkit semula.










