WASHINGTON: Mahkamah perdagangan Amerika Syarikat (AS) memberikan satu lagi tamparan kepada Presiden, Donald Trump apabila memutuskan tarif global 10 peratus yang diperkenalkannya tidak sah di bawah undang-undang sedia ada.
Keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS itu buat masa ini menyekat pelaksanaan tarif berkenaan terhadap dua syarikat dan negeri Washington, namun ia dijangka membuka ruang kepada cabaran undang-undang lain akan datang.
Mahkamah mendapati tindakan mengenakan tarif tersebut tidak disokong oleh undang-undang era 1970-an yang digunakan sebagai asas pelaksanaannya.
Trump memperkenalkan tarif sementara 10 peratus pada Februari, tidak lama selepas Mahkamah Agung membatalkan beberapa siri tarif global yang dikenakannya sebelum ini.
Tarif baharu itu bertujuan menangani defisit imbangan pembayaran dengan merujuk kepada Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Langkah tersebut hanya berkuat kuasa sehingga akhir Julai, kecuali jika dilanjutkan oleh Kongres. Namun, pentadbiran Trump dalam pada itu sedang mencari kaedah lebih kekal untuk membentuk semula agenda perdagangannya.
Bagi tujuan itu, pegawai AS membuka siasatan baharu terhadap berpuluh-puluh rakan dagang berhubung isu buruh paksa dan lebihan kapasiti, yang berpotensi membawa kepada tarif baharu atau tindakan lain.
Mahkamah Perdagangan Antarabangsa dalam keputusannya pada Khamis mengarahkan pihak defendan untuk melaksanakan keputusan tersebut dalam tempoh lima hari, serta memastikan pengimport yang memfailkan saman dalam kes ini menerima bayaran balik.
Pentadbiran Trump boleh mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah perdagangan itu.
“Seksyen 122 diluluskan sebagai tindak balas kepada krisis sejarah tertentu yang menyebabkan rizab mata wang dan emas AS berkurangan.
“AS mempunyai defisit perdagangan, bukan defisit imbangan pembayaran dan tidak mempunyai masalah pembayaran antarabangsa,” kata Peguam Kanan Liberty Justice Center, Jeffrey Schwab selepas keputusan itu dibuat.
Tarif khusus sektor yang diperkenalkan oleh Trump ke atas barangan seperti keluli, aluminium dan kenderaan masih tidak terjejas oleh cabaran undang-undang itu.
Namun begitu, keputusan mahkamah pada Khamis itu merupakan komplikasi terbaharu terhadap agenda tarif Trump.
Sejak Mahkamah Agung memberikan tamparan besar terhadap dasar ekonomi Trump, syarikat-syarikat turut bergegas memohon bayaran balik.
Badan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menganggarkan pada Mac, lebih 330,000 pengimport mungkin layak menerima bayaran balik susulan keputusan Mahkamah Agung tersebut.
Tarif yang sebelum ini dibatalkan, yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa mengutip kira-kira AS$166 bilion (RM649 bilion) dalam bentuk duti dan deposit.- AFP










