Ramai menyangka apabila memasuki usia tua, kehidupan suami isteri akan menjadi semakin tenang dan bahagia.
Komitment hidup semakin berkurangan, anak-anak mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri. Namun ada juga pasangan yang diuji di fasa menua bersama dengan keadaan tidak tenang.
Hari-hari yang dilalui dipenuhi dengan pertengkaran kecil yang sukar dijelaskan puncanya. Bukan kerana tiada perasaan sayang, tetapi kerana perubahan pada fizikal dan mental mereka.
Masing-masing menjadi semakin sensitif. Sedikit kesilapan kecil terasa besar, sedikit kekurangan mencetuskan kemarahan.
Situasi sama turut berlaku kepada pasangan warga emas, Zainal dan Rohana, (bukan nama sebenar) yang hidup serumah, tetapi lebih banyak bertikam lidah daripada berbual mesra.
Kisah pasangan ini dikongsikan sendiri oleh anak sulung mereka, Radi, (bukan nama sebenar) dalam kiriman emel baru-baru ini.
Menurut Radi, dia tidak berniat membuka aib kedua ibu bapanya. Jauh sekali menyalahkan sesiapa. Dia memahami, kedua ibu bapanya telah melalui kehidupan panjang dan penuh pengorbanan.
Namun apa yang dilihat hari demi hari sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosinya. Dia memilih untuk berkongsi cerita sebagai pengajaran.
Menurutnya, dia percaya ramai anak-anak di luar sana sedang melihat perkara sama sepertinya.
“Perkongsian ini bukan untuk membuka kelemahan kedua ibu bapa, tetapi saya juga takut jika saya sendiri mengulangi perkara sama tanpa sedar,” tulisnya.
Sejak akhir-akhirnya itu juga dia menyedari kesihatan kedua-duanya semakin merosot. Lebih mudah lupa, cepat cemas dan lebih sukar mengawal perasaan. Sebagai anak, dia berusaha melakukan yang terbaik untuk kedua-duanya.
“Sebagai anak, tiada apa yang lebih menyedihkan selain melihat kedua ibu bapa yang semakin dimamah usia sering bertengkar.
Kami adik beradik tidak meminta lebih, cukuplah di penghujung usia mereka, masih mampu duduk bersama dan saling menjaga,” tulisnya.
Dalam emelnya Radi menulis lagi, ada banyak perkara berlaku dalam jiwa orang tua yang tidak terlihat dan difahami. Sebagai anak-anak, mereka berusaha memahami ibu bapa yang semakin tua.
Bukan sekadar tentang melihat perubahan pada fizikal, tetapi juga emosi, cara fikir dan cara mereka melihat kehidupan. Dalam kiriman emel itu lagi, dia menceritakan, bagaimana rumah yang pernah menjadi tempat dia dan adik-adik membesar kini menjadi ruang penuh ketegangan.
Setahun lalu, selepas bersara daripada pekerjaannya di bandar dia mengambil keputusan pulang ke kampung halaman. Dia mahu dekat dengan tanah tempat dilahir dan dibesarkan.
Paling utama kata Radi, dia mahu menjaga kedua ibu bapanya yang semakin uzur.
Dengan wang simpanan, dia membina sebuah rumah sederhana di sebelah rumah kedua ibu bapanya. Dia membayangkan hari-hari tua yang tenang di kampung.
Namun selepas menetap di situ, hampir setiap hari dia mendengar suara pertengkaran dari sebelah rumah. Kadang-kadang perlahan, dan ada ketikanya sehingga jelas kedengaran sampai di dapur rumahnya.
Setiap pagi dia akan terjaga mendengar jeritan bapa memarahi ibunya. Punca ibu dan ayah bergaduh kadang kala nampak kecil di matanya.
Ada kalanya, ibu hanya terlupa memasang kipas, gagal mencari cermin mata bapa dan terlewat menyediakan minuman kegemaran bapanya. Ibu pula tidak seperti dahulu yang lebih banyak berdiam diri.
Ada kalanya ibu membalas dengan suara tinggi. Radi sering menjadi orang tengah.
Ada hari dia cuba memujuk bapanya, pada masa sama cuba menenangkan ibunya. Kedua-dua mereka seperti tidak tahu cara bercakap dengan lembut lagi.
Ada ketikanya kata Radi, dia sendiri menjadi mangsa. Jika dia membantu ibu terlalu banyak, bapa pula terasa hati. Jika dia menasihati ibu supaya bersabar, dia pula dituduh menyebelahi bapa.
Bercerita mengenai bapanya, tulis Radi, bapanya seorang lelaki yang tegas dan sejak muda bekerja kuat untuk menyara keluarga. Manakalanya ibunya suri rumah yang bertanggungjawab menguruskan rumah tangga dan membesarkan mereka lima beradik.
Kongsi Radi, semasa mereka kecil, ibu seorang isteri yang banyak mengalah. Namun apabila usia semakin tua, keadaan itu perlahan-lahan berubah.
Ibu yang dahulunya pendiam, kini lebih mudah membantah dan sensitif. Nada suara bapa yang sedikit tinggi, dianggap marah. Perkataan biasa yang bapa keluarkan, ibu berasa seperti sindiran.
“Saya tahu, walaupun ayah sering marah-marah, kasih sayang terhadap ibu tidak pernah berkurangan. Begitu juga ibu, di sebalik bebelan ibu, masih ada sikap ambil tahu terhadap ayah,” tulisnya.
Radi tahu, di sebalik pertengkaran yang berlaku hari-hari itu, mereka saling menyayangi dan saling menjaga. Ketika ibu demam beberapa hari, bapa duduk menemani ibu sepanjang malam walaupun mulutnya masih membebel.
Di situlah dia mula memahami sesuatu tentang perkahwinan ibu bapanya. Di penghujung kiriman emelnya, dia menulis setiap kali mendengar suara pertengkaran dari rumah sebelah, dia bukan sahaja berasa sedih terhadap ibu bapanya, tetapi mula takut memikirkan dirinya sendiri.
Dia sendiri kini sedang melangkah ke fasa usia tua. Dia mula sedar, usia tua bukan sekadar badan yang semakin lemah, tetapi tentang emosi yang semakin sunyi dan sensitif.
Di akhir emelnya, dia turut menitip doa apabila gilirannya nanti, Allah melembutkan hati dan pasangannya untuk menua bersama dengan penuh kesabaran.
Sesungguhnya tujuan perkahwinan bukan sekadar hidup bersama, tetapi untuk ketenangan, kasih sayang dan penuh ihsan.
Sebagaimana Firman Allah SWT “Dan tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup dan jenismu sendiri supaya kamu mendapat ketenangan kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu kasih sayang dan rahmat” – (Surah Ar-Rum 21).










