SEBAK. Itu perasaan pemandu pelancong kami, Kenny setiap kali datang ke zon bebas tentera (DMZ) di sempadan Korea Selatan-Korea Utara. Meskipun sudah banyak kali ke situ, emosinya tetap sama, tidak sedikit pun berubah.
“Saya dan datuk selalu datang ke sini kerana dia begitu merindui keluarga dan saudara-maranya di Korea Utara yang terpisah sejak sekian lama. Entahkan masih hidup atau sudah mati, langsung tiada khabar berita dari sana.
“Dia masih berharap suatu hari nanti Korea Selatan dan Korea Utara kembali bersatu agar dia dapat berjumpa semula dengan mereka,” ceritanya kepada kami dalam perjalanan ke DMZ dari Seoul, baru-baru ini.
DMZ sepanjang 250 kilometer (km) serta empat km lebar merupakan zon penampan yang memisahkan Korea Selatan dan Korea Utara selepas gencatan senjata dimeterai berikutan perang saudara dari 1950 hingga 1953. Sejak lebih 70 tahun selepas Perang Korea tamat, rakyat kedua-dua negara sebangsa itu terputus terus hubungan.

Dianggarkan lebih 10 juta warga Korea Selatan terpisah dengan keluarga mereka. Tidak dibenarkan melangkaui sempadan untuk menziarahi satu sama lain, apatah lagi mengutus surat ataupun telefon.
Meskipun perang sudah lama tamat, kesannya masih menghantui kehidupan kebanyakan mereka sehingga hari ini. Berbeza dengan saya sebagai pelancong, kunjungan ke DMZ cukup mengujakan.
Lebih-lebih lagi apabila dapat berdiri hanya 200 meter dari negara yang dipimpin Kim Jong- un itu! Melihat sendiri kesan-kesan perang dan meninjau Korea Utara walaupun tidak memijakkan kaki di negara itu, sudah cukup menginsafkan betapa peperangan lebih membawa kesengsaraan, bukannya keamanan.
Perjalanan dengan bas dari Seoul memakan masa kira-kira sejam. Sebelum boleh memasuki DMZ, setiap pelancong diperiksa pasport masing-masing oleh anggota polis tentera (MP).

Melepasi Sungai Imjin selepas pos kawalan MP, hati tambah berdebar kerana menandakan sudah masuk DMZ. Meskipun nampak tenang dengan orang awam bekerja di ladang dan banyak rumah penduduk, hati saya tetap cuak.
Ini kerana DMZ tidak sepadan dengan namanya. DMZ sebenarnya sarat dengan aset ketenteraan kedua-dua negara yang sedia bertempur bila-bila masa.
Sehingga hari ini pun, hubungan kedua-dua negara masih tegang. Sikit sahaja silap, tidak mustahil tercetus semula Perang Korea!
Kesemua itu tidak nampak depan mata, tapi kawasan sekeliling DMZ yang ditanam periuk api, pagar kawat duri dan pos kawalan ketat sudah cukup sebagai bukti. Lagipun, selepas perjanjian gencatan senjata dimeterai pada 27 Julai 1953, masih ada percubaan Korea Utara untuk menyerang dan menawan semula Korea Selatan.
Antaranya terowong rahsia bawah tanah sejauh 1.6 km digali tentera Korea Utara menembusi Korea Selatan yang saya masuki. Terowong ketiga antara empat dijumpai pada 1978 ini dikatakan dibina bagi membolehkan 30,000 orang tentera Korea Utara menyusup ke Seoul dalam tempoh sejam.

Terkejut saya melihat keadaan terowong sekali gus membayangkan kesungguhan Korea Utara membinanya. Entah berapa lama hendak membinanya, juga entah berapa tan dinamit digunakan untuk meletupkan batu-batu keras di dalamnya.
Kedalamannya 73 meter dan perlu berjalan sejauh 400 meter untuk turun sampai bawah. Saya berjalan kira-kira 20 minit untuk sampai ke hujung terowong.
Semakin hampir ke penghujung, semakin sempit dengan tinggi dan lebar hanya dua meter, terpaksa mengiring jika berselisih dengan orang lain. Bagi yang ada simptom klaustrofobia atau takut dengan tempat sempit, tidak digalakkan masuk ke sini.
Berjalan pula kena membongkok, sebab paras silingnya rendah. Sesekali kepala terhantuk siling, nasib baik pakai topi keselamatan.
Belum pun sampai ke penghujung, terowong ini sudah dihadang. Pada dindingnya nampak cahaya dari lubang kecil.
Bila dijenguk dalam lubang, ada berbaki kira-kira 200 meter lagi untuk keluar dari terowong. Itulah Korea Utara! Secara tiba-tiba terbayang dalam kepala, macam mana kalau ada tentera musuh di sebalik lubang itu dan sedang menghalakan rifel AK-47 ke arah kami?

Mahu balik ke tempat mula-mula masuk tadi pula terpaksa mendaki, nak tercabut lutut rasanya. Mujur ada mesin dispenser air sejuk dan bangku-bangku disediakan untuk melepaskan lelah.
Bagaimanapun, tiada kenangan yang dapat dirakamkan sepanjang berada di dalam terowong. Ini kerana segala beg termasuk telefon bimbit kami diwajibkan disimpan di dalam loker.
Kenny kemudiannya membawa kami ke Menara Peninjau Dora terletak hampir satu kilometer dari terowong. Menggunakan teropong, saya boleh lihat Korea Utara.
Kalau cuaca betul-betul baik, boleh nampak pergerakan orang-orang kampung bekerja di ladang atau menunggang basikal. Namun, difahamkan perkampungan di Kijong-dong itu hanyalah ‘lakonan’ bagi memberitahu dunia luar bahawa kehidupan di Korea Utara sangat bahagia.
Dikatakan juga tingkap-tingkap pada rumah-rumah itu sebenarnya cat hitam! Juga nampak tiang bendera antara yang tertinggi di dunia sepanjang 160 meter didirikan Korea Utara, seolah-olah mahu mengalahkan tiang bendera milik Korea Selatan setinggi 100 meter.
Di satu kawasan, nampak sebuah bandar besar dan itulah Gaeseong.
Kami juga ke Imjingak terletak 53 km dari Seoul manakala bandar paling hampir di Korea Utara ialah Gaeseong, hanya 22 km.
Dipamerkan sebuah kepala kereta api dipenuhi lebih 1,000 lubang kesan dibedil bom dan peluru dalam Perang Korea. Ketika itu ia dalam perjalanan dari Gaesong ke Pyongyang di Korea Utara membawa bekalan ketenteraan.
Di taman sama ada Jambatan Kebebasan merentasi Sungai Imjin. Dinamakan sedemikian apabila 13,000 tawanan perang (POW) menyeberanginya untuk pulang selepas dibebaskan dalam suasana menyayat hati.
Selain itu, terdapat kemudahan kereta kabel yang membawa pengunjung merentasi Garis Kawalan Orang Awam, Loceng Keamanan, pameran kehidupan di Korea Utara dan monumen-monumen.
Saya teruja apabila berjaya membeli wang kertas Korea Utara sebagai kenang-kenangan berikutan ia tidak dibenarkan dibawa keluar dari negara tersebut.

Taman ini dibina sebagai simbolik harapan rakyat Korea Selatan untuk bersatu semula dengan Korea Utara. Dapat dilihat banyak nota digantung di pagar sekitar taman berkenaan ditujukan kepada saudara-mara di Korea Utara.
Ada landasan kereta api dengan kepingan logam nama-nama stesen terdapat di Korea Utara. Ini bermaksud jika kedua-dua negara bersatu pada suatu hari nanti maka rakyat Korea Selatan boleh ke Korea Utara dengan menaiki kereta api.
Di tepi landasan ada dua patung gadis duduk di atas kerusi mewakili mereka yang dipaksa menjadi wanita penghibur (comfort women) kepada tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua. Salah satu patung dibina khusus untuk diletakkan di Korea Utara nanti.
Begitulah kuatnya harapan dan semangat mereka untuk kembali bersatu dengan saudara sebangsa di sana. Begitu juga Kenny.
Ceritanya, dia pernah mendaftarkan diri untuk menyertai Maraton Pyongyang. Tujuannya bukan sekadar untuk menjadi peserta tapi dia juga mahu mencari saudara-maranya.
Dia sanggup menggunakan alamat di China kerana tiada jalan masuk ke Korea Utara dari Seoul. Namun, usahanya tetap gagal berikutan pasport Korea Selatan tidak diiktiraf Korea Utara.
Kami berpeluang menyusuri Jambatan Gantung Gamaksan yang merupakan jambatan tanpa menara terpanjang di Korea Selatan. Bagaimanapun, untuk sampai ke jambatan ini perlu mendaki bukit kira-kira 20 minit. Mencungap jugalah!
Bagi yang gayat, merentasi jambatan sepanjang 150 meter dengan ketinggian 10 meter merentasi Lembah Silmari dalam keadaan berbuai pastinya cukup mencabar. Daripada apa yang diceritakan Kenny sepanjang lawatan, benarlah, DMZ bukan setenang seperti dilihat.
Sejak tamat perang, kedua-dua pihak saling memprovokasi termasuk secara psikologi antara satu sama lain.

Antaranya Korea Selatan pernah memainkan lagu-lagu K-pop melalui pembesar suara gergasi untuk diperdengarkan kepada rakyat Korea Utara bahawa kehidupan di sini penuh kegembiraan. Sebagai balasan, Korea Utara memainkan bunyi-bunyian yang tidak menyenangkan hampir sepanjang masa hingga mengganggu ketenangan penduduk kampung di kawasan Korea Selatan.
Juga Korea Utara pernah menerbangkan belon-belon besar membawa sampah sarap ke arah Korea Selatan hingga ada yang mendarat sampai Seoul.
Semasa menyeberangi Sungai Imjin keluar dari DMZ untuk pulang ke Seoul, nampak patung seekor lembu di penghujung jambatan. Ada kisah menarik mengenainya diceritakan Kenny.
Kisahnya, pengasas Kumpulan Hyundai, Chung Ju-yung pada usia 17 tahun meninggalkan kampungnya di Asan-ri, Korea Utara menuju Korea Selatan. Ketika itu belum lagi berlaku perang saudara.
Dia mencuri seekor lembu milik keluarga dan menjualnya sebagai modal untuk memulakan kehidupan baharu. Apabila Perang Korea meletus, Chung tidak dapat kembali ke kampung asalnya dan terputus terus hubungan dengan keluarga.
Sebagai seorang taikun, Chung berjaya menjalin kerjasama dalam bidang ekonomi dengan beberapa pihak berkuasa Korea Utara. Pada Januari 1989, Chung menjadi rakyat Korea Selatan pertama masuk ke Korea Utara selepas kedua-dua negara berpisah untuk memeterai perjanjian kerjasama.
Bagi membalas ‘hutang’ kepada keluarganya maka Chung membawa bersamanya 1,001 ekor lembu sebagai ganti!
Saya meninggalkan DMZ dengan satu pengajaran bahawa kehidupan harian rakyat Korea Selatan bukanlah seindah K-drama yang selalu kita tonton, atau penuh keceriaan mengikut rentak dan lirik lagu K-pop. Realitinya, igauan Perang Korea masih lagi menghantui mereka hingga kini.










