Ibu tanpa tangan, kaki ‘sentuh’ hati rakyat China

Ibu tanpa tangan, kaki ‘sentuh’ hati rakyat China

YUSHI dilahirkan dengan kecacatan kongenital dan tidak mempunyai anggota badan sejak lahir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURANG upaya tidak menjadi penghalang bagi seorang warga emas di China untuk menjalani kehidupan penuh ketabahan seperti ibu lain, apabila berjaya membesarkan tiga orang anak walaupun dilahirkan tanpa anggota badan.

Kisah Wang Yushi, 81, menjahit menggunakan mulut serta menggunakan siku untuk memegang penyepit ketika menguruskan keluarganya menyentuh hati ramai pengguna media sosial di China.

Digelar sebagai ‘ibu China paling kuat’, Yushi dari Baiyin di wilayah Gansu, dilahirkan dengan kecacatan kongenital dan tidak mempunyai anggota badan sejak lahir.

Dia juga tidak mempunyai nama rasmi sehingga lewat usia 20-an.

“Ibu saya dilahirkan tanpa tangan dan kaki, dan selama lebih 20 tahun dia langsung tidak mempuyai nama.

“Hanya apabila dia berkahwin dengan ayah saya pada usianya 27 tahun, seorang pegawai pendaftaran memberikan nama Wang Yushi, dan sejak itu semua orang memanggilnya dengan nama tersebut,” kata anak bongsunya, Zhang Lihu, 38.

ANAK bongsu Yushi, Zhang Lihu, merakam kehidupan harian keluarga mereka dan berkongsi di akaun media sosial, A Great Mother. – AGENSI

Selepas membina keluarga sendiri, Yushi melahirkan tiga orang anak iaitu seorang perempuan dan dua lelaki.

Pertanian merupakan sumber utama pendapatan di kawasan mereka, menyebabkan suaminya sering bekerja jauh dari rumah, sekali gus menjadikan Yushi memikul hampir semua tanggungjawab menjaga anak serta urusan rumah tangga.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, Yushi tetap memikul hampir keseluruhan tanggungjawab itu seorang diri.

A GREAT MOTHER

Lihu berkata, ibunya sangat cekap menguruskan kehidupan seharian kerana mampu mencuci pakaian, memasak serta menjahit pakaian.

Ketika memasak, Yushi akan terlebih dahulu duduk di atas bangku, sebelum menggunakan tubuh sebagai sokongan untuk menguli doh dan memotong sayur-sayuran.

Dia juga menjahit pakaian menggunakan mulutnya, manakala ketika makan, Yushi akan memegang penyepit menggunakan siku.

“Pada masa itu, saya seorang sahaja yang menjaga anak-anak. Kehidupan memang sangat susah, tetapi saya tetap berpuas hati. Sekurang-kurangnya kami tidak pernah kelaparan,” kata Yushi kepada Jimu News.


ANAK perempuan Yushi membantu menyuapkan makanan. – AGENSI

Ketika ini, ketiga-tiga anaknya telah pun membina keluarga masing-masing. Suaminya meninggal dunia lebih sedekad lalu dan dia kini tinggal bersama anak bongsunya.

Dia kini menghidap tekanan darah tinggi, namun keadaan kesihatannya secara keseluruhan masih stabil.

Lihu merakam kehidupan harian keluarga mereka dan berkongsi di media sosial di bawah nama ‘A Great Mother’, yang kini mengumpul sekitar 440,000 pengikut.

“Dapat berada di sisi ibu saya adalah kebahagiaan terbesar. Selagi ibu saya masih ada, di situlah rumah,” katanya.

Kisah Yushi menyentuh hati dan memberi inspirasi kepada ramai pengguna media sosial di China.

“Takdir memberinya permulaan yang sangat sukar, namun dia hidup seperti seorang pahlawan,” kata seorang pengguna.

“Sangat menyentuh hati. Ini benar-benar luar biasa dan membuatkan saya sebak,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN