BEIRUT: Israel menggempur Lubnan dengan lebih 120 serangan udara pada Selasa, antara pengeboman paling teruk sejak beberapa minggu lalu, ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendakwa pasukannya giat memperluaskan operasi ke atas negara itu.
Serangan udara tersebut terus menggugat gencatan senjata rapuh yang diumumkan pada 16 April lalu bagi menghentikan pertempuran antara Israel dan kumpulan bersenjata Hizbullah.
Sumber keselamatan Lubnan memberitahu Reuters, serangan Israel kelmarin menyasarkan beberapa kawasan di selatan dan timur Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan pula memaklumkan, serangan Israel dalam tempoh beberapa jam terakhir itu mengorbankan 31 orang dan mencederakan 40 yang lain, lapor agensi berita NNA awal Rabu.
Menurut kementerian, 14 mangsa terbunuh di bandar Burj al-Shamali di selatan Lubnan, termasuk dua kanak-kanak dan tiga wanita.
Beberapa serangan turut dilaporkan berlaku berhampiran Istana Beaufort, kubu berusia hampir 900 tahun di selatan Lubnan yang disifatkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) sebagai antara contoh istana zaman pertengahan paling terpelihara di rantau tersebut.
Sekurang-kurangnya tiga lagi serangan dilaporkan berlaku berhampiran Empangan Qaraoun di timur Lubnan, iaitu takungan air terbesar negara, lapor NNA.
Serangan itu turut berlaku ketika Iran mendakwa Amerika Syarikat (AS) melanggar satu lagi perjanjian gencatan senjata berasingan selepas melancarkan serangan ke selatan Iran.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Netanyahu mendakwa tentera Israel kini beroperasi dengan kekuatan besar di lapangan serta menawan dan mengawal kawasan tertentu.
“Kami sedang memperkukuh zon keselamatan untuk melindungi komuniti di utara,” katanya merujuk kepada zon keselamatan yang diisytiharkan dan diduduki Israel, beberapa kilometer di dalam wilayah selatan Lubnan.
Dua sumber pada Selasa mendakwa, tentera Israel memperluaskan operasi daratnya di selatan Lubnan melepasi zon keselamatan tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kemaraan rejim di kawasan dikenali sebagai Garisan Kuning.- AGENSI










