SEREMBAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperhalusi langkah penjimatan bagi menghadapi temasya Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia agar tidak menjejaskan kualiti persiapan atlet negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha penjimatan itu lebih tertumpu kepada aspek pengurusan dan perbelanjaan lain yang tidak melibatkan atlet serta pembangunan sukan.
Menurutnya, Malaysia dijangka menyertai 10 acara sukan pada temasya Sukan Komanwel 2026 berbanding 27 acara pada Sukan Asia, sekali gus melibatkan jumlah atlet yang lebih kecil.
“Langkah-langkah penjimatan itu sedang dalam perbincangan sebab penjimatan ini tidak hanya berkenaan program dalam negara tetapi lebih penting bagaimana kita ingin mengurangkan kadar dan kos supaya penjimatan itu dapat digunakan ke arah lain.
“Namun yang paling penting, langkah penjimatan ini tidak melibatkan pengurangan kualiti persiapan atlet, pengurangan keterlibatan dalam sukan ataupun pengurangan kualiti sukan itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Sendayan, hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata, KBS juga sedang menetapkan sasaran pencapaian pingat tanpa mengurangkan komitmen terhadap pembangunan atlet negara.
“Kita tetap jaga supaya kualitinya terjamin. Penjimatan ini lebih kepada perkara yang mungkin tidak sepatutnya dibelanjakan dan kita akan lebih teliti berbanding sebelum ini,” katanya.
Malaysia dijadual menyertai temasya Sukan Komanwel 2026 edisi ke-23 di Scotland, Julai depan, manakala Sukan Asia 2026 pula dijangka berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini di Aichi-Nagoya, Jepun. – UTUSAN










