PETALING JAYA: Ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri membuktikan kelas tersendiri di apabila menghadiahkan pingat gangsa acara keirin wanita pada Piala Trek Jepun 2026 di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.
Pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang wakil China, Yuan Li Ying yang meraih emas manakala atlet tuan rumah yang juga bekas juara dunia, Mina Sato membawa pulang pingat perak.
Kejayaan tersebut hadir menerusi perjalanan cukup mencabar buat Izzah apabila dia terlebih dahulu terpaksa melalui saingan repechage selepas menamatkan aksi saringan kedua pusingan pertama di tempat ketiga.
Bagaimanapun, pelumba berusia 23 tahun itu bangkit memperagakan kayuhan agresif apabila menjuarai saringan kedua repechage sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Cabaran lebih sukar menantinya pada separuh akhir apabila diundi dalam kelompok sengit bersama Sato, Haruka Nakazawa, Jiang Yu Lu, Bian Yi Min dan pelumba Australia, Molly McGill.
Namun, Izzah sekali lagi memperlihatkan kematangan taktikal apabila berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik untuk melayakkan diri ke final sebelum menamatkan saingan dengan podium gangsa.
Terdahulu, Izzah mencipta sensasi pada Piala Dunia Trek di Nilai April lalu menerusi rekod kebangsaan baharu kelayakan acara pecut dengan catatan 10.541 saat (s). – UTUSAN










