LONDON: Legenda bola sepak England, David Beckham mencipta sejarah apabila muncul atlet Britain pertama bergelar bilionair dengan nilai kekayaan bersama isterinya, Victoria Beckham dianggarkan mencecah 1.185 bilion pound (RM6.2 bilion).
Pencapaian luar biasa itu diumumkan menerusi senarai The Sunday Times Rich List 2026 yang turut meletakkan pasangan Beckham sebagai individu kedua terkaya dalam kalangan tokoh sukan Britain di belakang keluarga bekas bos Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone.
Beckham yang bersara pada 2013 terus mengukuhkan empayar perniagaannya menerusi pelbagai pelaburan strategik termasuk pemilikan bersama kelab Inter Miami CF yang kini dianggarkan bernilai 1.07 bilion pound (RM5.6 bilion).
Bekas kapten England itu turut menjana pendapatan besar menerusi kontrak komersial bersama jenama antarabangsa seperti Adidas dan Hugo Boss.
Sepanjang kariernya, Beckham pernah menikmati era gemilang bersama Manchester United sebelum menyarung jersi Real Madrid, LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Sementara itu, juara dunia F1 tujuh kali, Lewis Hamilton turut berada dalam kelompok terkaya dengan nilai kekayaan sekitar 435 juta pound (RM2.3 bilion), manakala juara golf Masters, Rory McIlroy dianggarkan bernilai 325 juta pound (RM1.7 bilion).
Peninju heavyweight Britain, Anthony Joshua dan Tyson Fury turut menghuni kelompok elit senarai tersebut bersama penyerang Bayern Munich, Harry Kane serta bekas juara Wimbledon, Andy Murray.
Dalam perkembangan sama, pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe dilaporkan mengalami penyusutan kekayaan sebanyak 1.85 bilion pound (RM9.75 bilion) susulan prestasi lemah syarikat petrokimianya, INEOS. – AGENSI










