Krisis Asia Barat paksa Air India kurangkan penerbangan

Krisis Asia Barat paksa Air India kurangkan penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Air India akan menggantung beberapa penerbangan antarabangsa selama tiga bulan bermula Jun susulan kenaikan mendadak harga bahan api jet akibat krisis berterusan di Asia Barat, menurut laporan.

Langkah itu dijangka menjejaskan laluan antarabangsa utama dari Delhi termasuk ke Chicago, Newark, Singapura dan Shanghai.

Penerbangan ke destinasi seperti San Francisco, Paris dan Toronto juga dilaporkan dikurangkan ketika syarikat penerbangan itu berusaha mengekang kos operasi.

Keputusan itu dibuat ketika syarikat milik Tata Group berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat, penstrukturan semula operasi dan ketidaktentuan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson, minggu lalu memberi bayangan syarikat penerbangan itu akan terus mengurangkan perkhidmatan antarabangsa susulan peningkatan kos bahan api yang dikaitkan dengan ketegangan geopolitik.

Laporan menyebut hampir 100 penerbangan harian dikurangkan secara keseluruhan sebagai sebahagian daripada pelarasan operasi terbaharu syarikat penerbangan itu.

Air India, yang dimiliki bersama Singapore Airlines, turut memperketat kawalan dalaman dan mengurangkan perbelanjaan merentasi semua jabatan sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan syarikat.

Dalam sesi pertemuan bersama kakitangan minggu lalu, Wilson dilaporkan mendedahkan lebih 1,000 pekerja diberhentikan sepanjang tiga tahun lalu atas kesalahan salah laku etika dan pelanggaran dasar syarikat.

Menurut laporan, tindakan itu diambil terhadap kakitangan yang didakwa terbabit dalam pelbagai pelanggaran termasuk penyalahgunaan sistem Employee Leisure Travel, menyeludup barangan keluar dari pesawat dan membenarkan lebihan bagasi tanpa caj sewajarnya.

Air India turut dilaporkan membekukan kenaikan gaji tahunan, mengehadkan perbelanjaan budi bicara serta memperkenalkan langkah kawalan kos lebih ketat dalam usaha menguruskan kerugian yang semakin meningkat.

Di sebalik pengurangan penerbangan terbaharu itu ialah tekanan kewangan yang semakin memuncak terhadap Kumpulan Air India, termasuk Air India Express.

Laporan menyebut kumpulan itu mungkin menamatkan tahun kewangan 2026 dengan kerugian melebihi 22,000 crore rupee (RM902 juta).

Air India Express turut mencatat peningkatan mendadak kerugian sepanjang tahun lalu, menurut data kerajaan.

Ketidakstabilan berterusan di Asia Barat menyebabkan harga bahan api jet meningkat, sekali gus menjadikan operasi antarabangsa lebih mahal bagi syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Langkah terbaharu Air India itu dilihat sebagai sebahagian usaha lebih besar untuk mengurangkan kos dan menstabilkan operasi syarikat.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN