DHAKA: Ribuan penunjuk perasaan di Bangladesh bertempur dengan polis dalam usaha untuk menangkap seorang suspek yang dituduh merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, menurut pihak berkuasa semalam.
Insiden berlaku ketika negara tersebut berdepan peningkatan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak sejak beberapa bulan kebelakangan ini, yang mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan orang ramai.
Polis berkata, suspek, Monir Hossain, pada awalnya ditahan oleh penduduk tempatan di bandar kedua terbesar negara itu, Chattogram, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa pada Khamis.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal apabila kira-kira 5,000 orang berkumpul di lokasi kejadian dan ketegangan tercetus.
Orang ramai mengepung kenderaan polis dan cuba menahan suspek, menyebabkan anggota polis terpaksa mengerahkan pasukan tambahan serta melepaskan gas pemedih mata.
Perbalahan itu berlarutan hampir enam jam, dan sebuah kenderaan polis turut dibakar.
“Keadaan kini terkawal, dan suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini,” kata jurucakap Polis Metropolitan Chattogram, Aminur Rashid.
Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu sedang menerima rawatan di hospital.
Kekecohan itu berlaku dua hari selepas kes rogol dan pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Dhaka yang mengejutkan negara tersebut.
Di ibu negara Bangladesh, penduduk turut mengadakan protes pada Khamis dengan menyekat jalan raya selama beberapa jam serta berhimpun di beberapa kawasan bagi menuntut keadilan.
Perdana Menteri, Tarique Rahman bertemu keluarga mangsa di Dhaka dan berjanji untuk memastikan keadilan dilaksanakan dengan segera.
Kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak dilaporkan meningkat kepada 2,011 pada April, berbanding 1,425 pada Mac dan 1,181 pada Februari, menurut data rasmi.
Aktivis hak asasi manusia berkata, masalah kekebalan undang-undang masih berleluasa dalam sistem kehakiman Bangladesh yang lembap.
Satu kajian oleh Mahkamah Agung Bangladesh dan badan bukan kerajaan, BRAC, mendapati kadar sabitan bagi kes sedemikian hanya sekitar tiga peratus, manakala kira-kira 70 peratus tertuduh akhirnya dibebaskan.
“Kurangnya keadilan mencetuskan gelombang protes ini. Orang ramai mahu melihat keadilan benar-benar dilaksanakan,” kata Abu Ahmed Faijul Kabir daripada kumpulan hak undang-undang Ain o Salish Kendra.- AFP









