Kerajaan 'tergesa-gesa' umum syarat baharu import EV - Ahmad Fadhli

Kerajaan ‘tergesa-gesa’ umum syarat baharu import EV – Ahmad Fadhli

bersatu
 AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan menetapkan syarat baharu terhadap pengimportan kenderaan elektrik (EV) dipasang sepenuhnya di luar negara (CBU) didakwa dibuat secara ‘tergesa-gesa’ sehingga dikhuatiri memberi kesan kepada rakyat, selain berisiko menjejaskan keyakinan pelabur terhadap pasaran automatif negara.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendekatan kerajaan dalam memperkenalkan polisi baharu berhubung EV dilihat tidak jelas sama ada benar-benar mahu mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik atau sekadar melindungi industri tertentu.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan pengguna menjadi pihak yang menanggung kesan daripada pelaksanaan dasar berkenaan.

“Kerajaan hari ini nampaknya masih belum membuat keputusan sama ada mereka benar-benar mahu mempercepatkan penggunaan EV, ataupun sekadar mahu menjaga industri tertentu sampai pengguna sendiri jadi mangsa.

“Bila keluar polisi baru yang menyukarkan EV import masuk ke Malaysia, ramai terus bercakap seolah-olah isu ini cuma melibatkan satu jenama, sedangkan persoalan sebenar jauh lebih besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dilapor menetapkan semua pengimportan kenderaan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama termasuk had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas mulai 1 Julai 2026.

Syarat lain adalah nilai kos, insurans dan pengangkutan minimum sebanyak RM200,000.

Ketetapan itu diperkenalkan susulan tamatnya tempoh pengecualian khas selama empat tahun bagi pengimportan EV di bawah permit kelulusan (AP) Francais pada 31 Disember 2025.

Ahmad Fadli berkata, Malaysia perlu berpijak pada realiti bahawa saiz pasaran negara adalah kecil berbanding negara seperti Indonesia, Thailand dan China, sekali gus memberi kesan kepada daya tarikan pelaburan automotif berskala besar.

“Pelabur global juga membuat keputusan berdasarkan faktor ekonomi seperti saiz pasaran, kestabilan polisi, kos operasi dan potensi eksport, bukan semata-mata pertimbangan dasar.

“Pelabur bukan membuat keputusan berdasarkan semangat patriotik. Mereka lihat nombor, saiz pasaran, kestabilan polisi dan kos operasi,” katanya.

Katanya, ketidakstabilan dasar boleh menjejaskan keyakinan pelabur kerana perubahan polisi yang kerap memberi gambaran ketidaktentuan kepada pasaran, malah dalam keadaan tertentu, syarikat global hanya akan melabur dalam operasi pemasangan tempatan apabila jumlah jualan stabil dan pasaran cukup besar.

“Kalau pasaran kecil tetapi syarat terlalu ketat, syarikat mungkin memilih untuk tidak masuk langsung atau hanya menjual model premium.

“Keadaan itu akhirnya boleh menyebabkan harga kenderaan kekal tinggi dan mengehadkan pilihan pengguna, khususnya dalam segmen mampu milik,” katanya.

Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelaburan teknologi tinggi dengan menyediakan infrastruktur stabil, dasar konsisten, cukai kompetitif serta proses birokrasi yang lebih cekap.

“Pelabur datang bila ada sebab ekonomi yang masuk akal, bukan semata-mata tekanan polisi.

“Dasar automotif negara perlu dilaksanakan secara lebih terancang bagi mengelakkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN