Alexander beri bayangan tidak pertahan kerusi Kapit

Alexander beri bayangan tidak pertahan kerusi Kapit

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selepas hampir tiga dekad berkhidmat di peringkat Parlimen.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan karier politik di peringkat negeri sekiranya diberi peluang serta mendapat restu kepimpinan parti.

Katanya, selepas hampir 30 tahun menjadi Ahli Parlimen Kapit, beliau melihat sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan tanggungjawab dan cabaran baharu di peringkat negeri.

“Ia bagi memberi ruang kepada generasi muda untuk meneruskan perjuangan parti serta membawa kepimpinan baharu di kawasan berkenaan.

“Hasrat saya menyatakan perkara ini adalah untuk memberi laluan kepada orang muda. Saya sudah ada rancangan (langkah seterusnya) yang disediakan sekiranya diperlukan.

“Sebab saya sudah hampir 30 tahun di Parlimen, kalau ada peluang dan direstui Yang Dipertua parti (Tan Sri Abang Johari Abang Openg), mungkin saya ingin menyambung kerjaya politik saya di peringkat negeri,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Kuching, Sarawak, hari ini.

Alexander bagaimanapun berkata, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan pucuk pimpinan parti termasuk Yang Dipertua parti dalam menentukan hala tuju politiknya.

Beliau turut memberi bayangan kemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Kapit sekiranya diberi kepercayaan parti susulan persempadanan semula kawasan.

“Kebetulan ada kerusi DUN baharu di sana (persempadanan semula). Saya juga komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat di mana sahaja ditempatkan,” katanya.

Alexander yang merupakan cucu kepada pemimpin ulung masyarakat Dayak, Tun Temenggong Jugah Barieng menjadi Ahli Parlimen Kapit sejak 1999 selama enam penggal termasuk menang tanpa bertanding pada PRU-11 dan PRU-12.

Beliau menyertai Kabinet Persekutuan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2013 sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2021.

Pada Disember 2022, beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya sehingga kini, selain pernah memangku jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selama dua minggu pada Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN