JOHOR BAHRU: Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan pada Khamis lalu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming sehubungan itu berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan kempen mengutip tandatangan rakyat Johor bagi membantah perkara tersebut, dalam waktu terdekat.
Menurutnya, tindakan itu juga perbuatan yang tidak mencerminkan budaya politik matang dan demokratik kerana menggunakan kaedah pintu belakang bagi mendapatkan jawatan.
“ADUN lantikan ini tidak dipilih rakyat, mereka tiada kawasan berkhidmat namun menerima gaji seperti ADUN, mempunyai kuasa untuk mengundi, untuk berbahas dan membangkitkan isu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Pindaan sedemikian sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat, tak boleh dilantik. ADUN lantikan ini cara pintu belakang, jika ia menjadi ikutan akan menjejaskan perlembagaan dan demokrasi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Sidang DUN Johor meluluskan RUU itu yang mendapat sokongan dengan 40 ADUN menyokong manakala 16 lagi menentang, sekaligus bakal menambah bilangan ADUN Johor menjadi 61 orang.
Sehubungan itu, Kor Ming berharap kerajaan negeri Johor akan mempertimbangkan semula perkara tersebut dan tidak melaksanakannya, susulan rakyat tidak mengenali mana-mana individu yang bakal dilantik.
“PH akan mengadakan kempen mengutip tanda tangan dengan sasaran puluhan ribu individu dalam kalangan rakyat Johor untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
“Jika hendak jadi ADUN, hendak jadi wakil rakyat maka masuk menerusi pintu depan iaitu dipilih rakyat dan bukan melalui jalan lantikan. Bila kempen itu akan dibuat saya serah kepada pucuk pimpinan PH. – UTUSAN









