RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari 2026 adalah satu peralihan paradigma pada pendidikan tinggi negara.
Pendidikan tinggi dibawah RPTM 2026-2035 bukan bersifat projek ekonomi dan bukan semata-mata sebagai alat penyediaan tenaga kerja semata-mata, tetapi lebih jauh serta lebih besar daripada itu sebagai satu ‘seni bina’ dasar negara yang berpaksikan kemanusiaan dan alat pembina nilai serta memenuhi hala tuju negara dalam jangka panjang.
Walaupun tidak mengabaikan isu ranking universiti, tetapi ia bukan dilihat sebagai ukuran muktamad kualiti pendidikan tinggi.
Isu berkaitan dengan pembentukan nilai kemanusiaan, masyarakat beradab dan jati diri sebagai seorang warganegara bermaruah mesti dibina bersama yang perlu dijadikan tunjang yang tidak dikesampingkan.
Berasaskan persoalan ini pemahaman mendalam tentang Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara mesti difahami oleh setiap mahasiswa dan juga warga pengajian tinggi (pensyarah dan para pentadbirnya).
Apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri bahawa pemahaman tentang Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara adalah kursus yang perlu dipelajari oleh semua mahasiswa adalah satu yang sangat wajar.
Tanpa asas pemahaman ini tidak mungkin seseorang mahasiswa dapat menjadi seorang anggota masyarakat yang benar-benar berfungsi dan bertindak dengan tepat.

Undang-undang negara adalah persoalan penting dalam pembinaan sesebuah kestabilan negara bangsa. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan dalam Perkara 4(1) memperuntukkan ‘Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.’
Tanpa pemahaman mendalam tentang Perlembagaan Persekutuan, adalah sukar seseorang mahasiswa untuk bertindak dengan tepat.
Peruntukan-peruntukan lain yang menjadi ‘tiang seri’ peraturan negara seperti Perkara 3; Agama Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 8; Kesamarataan, Perkara 38; Majlis Raja-Raja Melayu, Perkara 152; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Perkara 153; Hak keistimewaan Orang-Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak; dan peruntukan yang seumpamanya adalah sangat perlu difahami oleh setiap mahasiswa, khususnya mahasiswa warganegara Malaysia.
Apa maksud perkataan ‘tetapi’ dalam Perkara 3 (1); Frasa ‘Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini’ dalam Perkara 8(2) hanya dapat difahami melalui kursus pemahaman oleh mereka yang mempunyai pengetahuan dan pakar dalam undang-undang Perlembagaan.
Begitu juga dengan peruntukan dalam Perkara 38(5); ‘Majlis Raja-Raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuhkan tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153.’
Kenapa Perkara 153 dikaitkan dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Begitulah juga dengan tafsiran Melayu yang dinyatakan dalam Perkara 160.
Tanpa pemahaman yang tepat dan mendalam, tindakan mereka nanti akan memungkinkan tersalah membuat keputusan atau membuat keputusan yang kurang tepat.
Oleh kerana mahasiswa ini nanti bakal menjadi anggota penting dan mempunyai peranan besar dalam masyarakat dan negara, maka pemahaman mendalam mengenai Perlembagaan Persekutuan adalah satu perkara yang mesti.
Keputusan Perdana Menteri yang mewajibkan mahasiswa mengikuti kursus Perlembagaan Persekutuan ini adalah satu keputusan tepat yang perlu disokong oleh semua pihak, berbagai peringkat tanpa berbelah bagi.
Pemahaman ini bukan sahaja sekadar memahami isi kandung tetapi juga falsafah tersirat disebalik peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pemahaman itu perlu dikaitkan dengan persoalan pembinaan negara bangsa yang stabil dalam jangka panjang seperti persoalan berkaitan dengan prinsip “one state, one nation” dan “one state, multiple nations.”
Apa hubungannya prinsip-prinsip ini dengan pembinaan pembinaan nilai, jati diri dan kestabilan jangka panjang negara.
Persoalan ini perlu dikaitkan dan pemahaman yang mendalam dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3, Perkara 8, Perkara 152, Perkara 153 dan seumpamanya.
Mahasiswa bukan sahaja perlu memahaminya secara mendatar tetapi secara mendalam dan bersifat filosof.
Apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi melalui satu proses sejarah yang panjang. Ia tidak dapat difahami dengan mendalam tanpa memahami sejarah perkembangan sosio-politik negara yang panjang.
Dalam hal ini, apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri bahawa seseorang mahasiswa daripada semua jurusan pengajian di universiti juga perlu mengikuti kursus sejarah negara adalah satu yang sangat tepat dan sangat perlu.
Tanpa memahami perjalanan sejarah negara, tidak mungkin seseorang itu dapat memahami peruntukan-peruntukan penting dalam Perlembagaan dan apa yang wujud pada hari ini.
Untuk memahami peruntukan dan falsafah Perlembagaan Persekutuan perlu memahami sejarah perkembangan sosio-politik dan pentadbiran negara.
Apa yang berlaku dalam sejarah negara sepanjang abad ke-20, khususnya selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir pada September 1945 sangat perlu diketahui dan difahami dengan mendalam oleh setiap warganegara (dalam konteks RPTM 2026-2035 adalah mahasiswa universiti).
Apa yang berlaku selepas pihak Jepun menyerah kalah, pembentukan Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, Darurat 1948-1960, Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, dan pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 dan seumpamanya perlu difahami oleh setiap mahasiswa daripada semua bidang disiplin pengajian.
Pemahaman sejarah negara adalah asas penting bagi pembinaan jati diri dan semangat cintakan negara.
Buta akan sejarah negara Malaysia adalah satu unsur yang merbahaya. Pemahaman apa yang berlaku dan terbentuknya negara pada hari ini, asasnya melalui proses sejarah sosio-politik.
Mewajibkan kursus Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara bagi semua mahasiswa daripada semua disiplin pengajian adalah satu yang tepat bagi mencapai matlamat RPTM 2026-2035. Asas jati diri, nilai kemanusiaan dan semangat cintakan negara akan terbina melalui pemahaman mendalam Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara.
Kekuatan pembinaan tamadun negara secara menyeluruh berpaksikan nilai kemanusiaan akan menjadi lebih kukuh. Kuatnya jati diri dan nilai kemanusiaan menjadi kekuatan dan kestabilan negara.
Lemahnya jati diri dan lemahnya nilai kemanusaan, tamadun negara memungkinkan kelemahan dan kehancuran. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa & Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.










