Apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh dicabar

Apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak boleh dicabar

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama pelajar-pelajar tahfiz di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maahad Seluruh Bentong di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Semua perkara sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar dan ia perlu difahami supaya tiada pertelingkahan mengenai kaum dan agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan dijamin termasuk hak kaum Melayu dan Bumiputera, agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan raja-raja Melayu.

“Ini harus diajar pada anak-anak, jika tidak, sampai bila? Sudah (hampir) 70 tahun Merdeka tetapi (masih) sibuk bergaduh soal bahasa, hak keistimewaan padahal ini sudah termaktub di dalam perlembagaan dan bukan untuk dipertikai,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maahad Seluruh Bentong di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan terdahulu iaitu pada 2003 membatalkan semua bantuan kepada sekolah agama.

Malah, katanya, beliau sudah melakukan perbincangan dengan pengendali sekolah agama di seluruh negara supaya mereka menambah subjek Bahasa Melayu dan sejarah di dalam kurikulum pengajian mereka.

“Saya mengambil keputusan pada dua tahun lalu untuk kembalikan bantuan kepada sekolah-sekolah agama. Bukan setakat itu, saya sudah berunding dengan sekolah-sekolah pondok di Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Banyak sekolah-sekolah agama itu daif, anak-anaknya ramai ratusan ribu. Saya kata yang saya tidak mahu ganggu kurikulum, itu tok-tok guru tentukan, bukan urusan kementerian ataupun saya tetapi kita mintak supaya penguasaan Bahasa Melayu serta sejarah Malaysia ditambah,” katanya.

Beliau berkata, golongan agamawan perlu menerima kenyataan bahawa perubahan menuntut semua untuk siap dalam mendepani cabaran zaman.

“Perubahan menuntut kita untuk siap sebagai pendakwah, pendidik, mualim yang mampu menghadapi cabaran zaman.

“Dulu sekolah agama ini, kalau ikut sejarah, mahaad tahfiz, pondok-pondok ini benteng pertahanan iman dan ilmu umat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×