KUALA LUMPUR: Tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap Pulau Pinang adalah tidak sah daripada segi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai negeri berdaulat sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957 dan kedudukannya diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963.
“Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan tuntutan sejarah prakemerdekaan,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Kon Yeow berkata, sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah telah ditetapkan secara sah melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) yang digubal Parlimen.
“Dalam sistem Persekutuan, sempadan negeri tidak boleh diubah sesuka hati atau melalui kenyataan politik tanpa proses undang-undang,” katanya.
Beliau memberi amaran jika tuntutan Kedah diterima ia boleh membuka ruang kepada isu lain yang mengancam kestabilan dan keharmonian negara.
“Persekutuan Malaysia dibina atas asas kesetaraan negeri dan penghormatan terhadap kedaulatan masing-masing,” katanya.
Kon Yeow turut merujuk tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sebagai contoh bahawa tuntutan sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan berperlembagaan.
“Sekali lagi saya tegaskan, tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang tidak sah mengikut Perlembagaan,” katanya.
Beliau menegaskan Pulau Pinang menolak sebarang provokasi atau naratif yang boleh menjejaskan keharmonian awam dan menggesa semua pihak menghentikan retorik politik yang boleh mengelirukan rakyat.
Untuk rekod, pada 2021 Kedah menuntut royalti pajakan Pulau Pinang berjumlah RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Awal Januari lalu, Muhammad Sanusi berkata proses perundangan berhubung tuntutan itu boleh dimulakan selepas dokumen berkaitan dianalisis. – UTUSAN









